Jose Mourinho berkata Hugo Lloris "merupakan penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL)" dan tidak boleh dipersalahkan selepas Tottenham diikat Crystal Palace 1-1 pada penghujung perlawanan 'derby' di Selhurst Park lewat malam tadi.

Spurs kelihatan akan melebarkan pendahuluan mereka ke atas Liverpool dalam kedudukan EPL apabila kesilapan penjaga gol Palace, Vincente Guaita, dalam babak pertama memastikan Harry Kane membuka jaringan dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, gol ke-15 Kane musim ini masih belum cukup untuk Tottenham menewaskan seteru London itu apabila Jeffrey Schlupp melakukan penyudah jarak dekat pada sembilan minit terakhir.

Lloris tidak dapat mengeluarkan bola daripada sepakan peruma berbahaya Eberechi Eze untuk gawangnya dibolosi Schlupp.

Namun, pengurus Spurs, Mourinho, berasakan bahawa dia tidak boleh menuding jari kepada Lloris sambil menganggap penjaga gol itu sebagai yang terbaik dalam liga berkenaan.

Ditanya sama ada Lloris menjadi punca kepada jaringan Schlupp, dia berkata: "Penjaga gol saya adalah penjaga gol terbaik dalam EPL, jadi saya tidak akan mengkritik penjaga gol terbaik EPL, buat masa ini.

"Jika saya perlu menyalahkan sesiapa, saya akan menyalahkan diri kami, pasukan ini, yang menang, yang seri dan yang kalah.

"Pada waktu rehat, saya memberitahu pemain sesuatu yang berbeza dengan apa yang kami lakukan dalam babak kedua tetapi jika mereka tidak melakukannya, ia kerana mereka tidak mampu, mereka tidak dapat melakukannya.

"Untuk itu, saya memberikan pujian buat Palace, saya hanya berkata seperti itu kerana jika anda mahu melakukan tekanan di atas, jika bola berada di udara dan anda tidak boleh memberikan terkanan, tiada apa untuk anda berikan tekanan.

"Mereka melambungkan bola ke udara, ke dalam kotak penalti, mula mendapatkan banyak sepakan percuma dan sepakan penjuru dan bola muntah, jadi jaringan boleh terhasil, seperti yang mereka lakukan.

"Jadi kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak meneruskan seperti yang kami lakukan dalam babak pertama," katanya.