McTominay pemimpin di United -- Solskjaer

Oleh Staff Writer 2 November 2019 1648
McTominay pemimpin di United -- Solskjaer
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, bersetuju bahawa Scott McTominay merupakan pemimpin di kelab itu.

Kecemerlangan McTominay merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan United sepanjang menghadapi tiga bulan pertama yang cukup sukar musim ini, di mana skuad The Red Devils itu hanya memenangi tiga perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu memaparkan satu lagi aksi cemerlang ketika menewaskan Chelsea 2-1 dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di Stamford Bridge awal pagi kelmarin untuk memberikan United kemenangan di laman lawan buat kali ketiga berturut-turut.

Ia juga dilihat sebagai satu kebangkitan buat skuad kendalian Solskjaer itu selepas terikat 1-1 dengan Liverpool di Old Trafford.

Sesetengah penyokong United sudah mula membahaskan mengenai posisi McTominay yang dikatakan layak untuk mengetuai pasukan itu pada masa akan datang.

Pemain itu dibawa masuk ke dalam pasukan utama oleh bekas pengurus, Jose Mourinho, dan terpilih untuk menerima Anugerah Pemain Terbaik Pilihan Pengurus pada 2018.

Ditanya mengenai peluang McTominay untuk menyarung lilitan lengan, Solskjaer memberitahu wartawan: "Dia amat cemerlang. Dia dan Fred, mereka menghasilkan gandingan yang amat baik. Mereka beraksi dengan amat baik bersama-sama.

"Mereka melakukannya sejak musim lalu, ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG), Arsenal, dan beberapa perlawanan lain ketika mereka bergandingan dan kami berdepan masalah kecederaan.

"Kini, mereka adalah gandingan utama kami.

"Tetapi Scotty amat cemerlang. Dia seorang pemimpin, dia pemuda Manchester United.

"Dia melepasi segala jangkaan.

"Anda tahu dia pernah menjadi penyerang dan menjaringkan gol ke atas Norwich (City), namun dia berkembang untuk menjadi seorang pemain tengah yang amat baik," katanya.

United akan bertemu Bournemouth malam ini dalam usaha untuk memburu kemenengan keempat berturut-turut -- kali pertama sejak melakukannya dalam lapan perlawanan berturt-turut sewaktu Solskjaer bertindak sebagai pengurus sementara hujung tahun lalu.

Solskjaer percaya kombinasi kerja keras dalam waktu rehat antarabangsa, kepulangan beberapa pemain bintang daripada kecederaan dan peningkatan positif sewaktu menentang Liverpool telah mendorong mereka untuk mengubah prestasi keseluruhan pasukan.

"Waktu rehat antarabangsa tiba pada masa yang amat baik buat kami.

"Kami melakukan beberapa perkara dan bersedia untuk berdepan Liverpool.

"Apabila anda beraksi baik dan memperoleh keputusan yang wajar ketika berdepan pendahulu liga, ia memberikan anda sedikit lebihan tenaga.

"Dan sejak  itu, pemain amat gembira dengan usaha yang kami lakukan.

"Mungkin perubahan sistem membantu, jadi barisan kejurulatihan kami telah melakukannya dengan baik," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen