Kylian Mbappe tidak sesuai untuk Liverpool yang dikendalikan Jurgen Klopp, kata Jason McAteer.

The Reds dikaitkan dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu selepas menyinar di pentas bola sepak Perancis sejak bersama Monaco.

Mbappe turut mempamerkan aksi terbaik dalam Liga Juara-Juara Eropah dan turut membintangi skuad Perancis yang bergelar juara Piala Dunia di Rusia, dua tahun lalu.

Kehadiran Mbappe dilihat mampu memberikan kelebihan buat Liverpool yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris tetapi bekas pemain The Reds, McAteer, tidak pasti mengenainya sambil penyerang RB Leipzig, Timo Werner, dan tonggak Borussia Dortmund, Jadon Sancho, berada dalam senarai pilihannya.

"Anda tidak boleh duduk diam tetapi perlu libatkan diri. Daripada perspektif pengurus, sentiasa perlu kekal dengan dua atau tiga langkah di depan," katanya.

"Tugas Klopp untuk mengenal pasti pasukannya musim depan, mempersiapkan skuad untuk saingan akan datang.

"PSG adalah kelab unik, dahagakan kejayaan Liga Juara-Juara, memiliki skuad yang ampuh tetapi pemain mahukan cabaran lebih besar.

"Bagi saya, Mbappe tidak berada dalam kedudukan yang baik. Dia menyinar dalam kelas tersendiri tetapi ini bukan tempoh terbaik untuknya hadir ke Liverpool.

"Saya lebih mahukan kelibat Werner atau Sancho. Kami mahu lihat Mbappe di Anfield kerana sebab yang berbeza tetapi untuk bola sepak, saya tidak tahu jika dia sesuai."