Masa depan Bale belum dalam topik perbincangan, kata Mourinho 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Januari 2021 188
Masa depan Bale belum dalam topik perbincangan, kata Mourinho 
Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, mendedahkan tiada sekalipun mereka berbincang mengenai pendirian berhubung masa depan Gareth Bale.

Bale kembali menyertai Spurs menerusi perjanjian pinjaman semusim daripada Real Madrid pada September lalu di sebalik dihujani  tawaran.

Begitupun, kepulangannya belum mampu memenuhi harapan tinggi mereka, apatah lagi bintang Wales itu hanya membuat satu permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan belum berkesempatan beraksi sepanjang 90 minit berikutan berulang kali dihimpit masalah kecederaan, kecergasan dan prestasi.

Kelab itu dilaporkan mempunyai pilihan terus meminjam khidmat Bale buat tahun kedua, tetapi laporan mengaitkan penyerang itu -- yang sekadar mencetak tiga gol sejak kembali ke kelab London utara tersebut -- sedia kembali ke Madrid pada hujung musim ini.


 

Ketika ditanya apakah keputusan untuk tidak melanjutkan pinjamannya telah diputuskan, Mourinho berkata: "Tidak pernah sekalipun kami berbincang mengenai hal itu.

"Gareth adalah pemain yang dipinjamkan hingga akhir musim ini.

"Tidak ada sesaat pun perbincangan mengenainya. Tentu saja, kita sedang bercakap soal Gareth, Real Madrid, Tottenham, tetapi saya bersumpah, perbincangan mengenainya tidak pernah berlaku.

"Anda tahu bahawa dia tiba dengan kecederaan. Saya percaya pada bulan pertama dia tercedera semula. Kemudian selangkah demi selangkah, perlawanan Liga Europa membantunya mendapatkan rentak.

"Fasa peringkat kumpulan Liga Europa adalah tahap yang berbeza daripada EPL. Babak kalah mati adalah cerita yang berbeza. Tetapi fasa kumpulan adalah keamatan, rentak dan kualiti yang berbeza.

"Sebab itu dalam EPL, dia jarang diturunkan, Lagipun kecederaan kecil di Stoke City (dalam Piala Liga Inggeris) di mana dia sempat menempuhi babak pertama yang baik. Ini bukan proses yang mudah.

"Semua orang tahu bahawa dalam beberapa musim terakhir ini, di Madrid, ia bukan situasi yang mudah buatnya. Jadi, kami melakukannya selangkah demi selangkah dan berusaha untuk memberikan yang terbaik darinya."

 

Spurs diikat 1-1 oleh Fulham, kelmarin, biarpun merintis perlawanan itu dengan rekod enam perlawanan tanpa kalah. 

Mereka bakal berdepan Sheffield United, yang baru saja melakar kemenangan pertama musim ini, di Bramall Lane malam esok.

Mourinho menambah: "Gio (Lo Celso) belum sedia diturunkan dan kami akan menjalani dua sesi latihan sebelum perlawanan ini. Tetapi saya yakin tiada lagi masalah secara dasarnya.

"Mereka (Sheffield United) bukan pasukan terburuk EPL. Mereka jauh lebih baik di sebalik kedudukan mereka. 

"Kami menganalisis perlawanan mereka dan berkali-kali pencabar gagal mendominasi mereka. Saya tidak mengkaji carta liga. Memang saya ada melihatnya tetapi ia lebih daripada itu.

"Butiran kecil mampu menjamin kutipan mata, menentukan jaringan, menentukan kedudukan liga. 

"Mereka sering tewas 0-1, mereka adalah pasukan yang sangat bagus. Jika dalam fikiran kami, kami akan berdepan pasukan terburuk EPL maka kami akan menghadapi masalah besar."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen