MANCHESTER UNITED 1 TOTTENHAM 0

Anthony Martial meledak gol kemenangan untuk Manchester United mengatasi Tottenham 1-0 di Old Trafford untuk terus kekal di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).


Musim lalu, jaringan Henrikh Mkhitaryan memberikan kemenangan buat United dalam perlawanan yang sama selepas Spurs mendominasi permainan dan ia sekali lagi berlaku buat skuad kendalian Mauricio Pochettino yang bergelut tanpa kelibat tonggak utama, Harry Kane.

Pemain kebangsaan England itu terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan hamstring, dan Pochettino memilih Son Heung-min untuk mengetuai jentera serangan tetapi skuad yang digelar oleh Pep Guardiola sebagai "Pasukan Harry Kane" itu gagal untuk menembusi pertahanan United.

Selepas seri dengan Liverpool dan tewas mengejut kepada Huddersfield Town 2-1 minggu lalu, United masih lagi gagal untuk mempamerkan aksi cemerlang, dengan ketiadaan Paul Pogba mahupun Marouane Fellaini mengisi jentera tengah The Red Devils.

Di sebalik kawalan permainan Spurs di Old Trafford, percubaan terbaik mereka hadir dalam babak kedua apabila lambungan Christian Eriksen berjaya ditampan oleh Dele Alli tetapi tersasar.

Romelu Lukaku yang dilihat semakin bergelut untuk mencipta jaringan hampir memiliki peluang terbaik untuk memecah kebuntuan, namun tandukannya pada minit ke-73 sekadar terkena tiang gol.

Walaupun tidak menjaringkan gol, Lukaku sekali lagi melakukan bantuan jaringan buat kali kedua dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum Martial memastikan kemenangan buat United.Pengendali The Red Devils, Jose Mourinho, memberikan pujian ke atas persembahan yang dipamerkan oleh Martial.

"Kadang-kala ketika dia memulakan perlawanan dan bermain baik untuk pasukan tetapi gagal menjaringkan gol," kata Mourinho.

"Saya tidak memahami reaksi yang mempersoalkan kualiti pasukan ini.

"Pemain-pemain kami berdepan pertahanan tengah yang sangat berkualiti, mereka dalam kalangan yang terbaik di Eropah.

"Martial menjaringkan gol dengan sepakan yang kurang baik tetapi ia boleh dilihat sebagai sesuatu yang sangat cantik.

"Memenangi perlawanan ke atas pasukan seperti Spurs, amat menggembirakan saya," katanya.