Pemain pinjaman Arsenal, Pablo Mari, mahu terus bekerjasama dengan ketua jurulatih, Mikel Arteta, dalam tempoh lama dan berharap dapat memenangi Liga Perdana Inggeris bersama kelab itu.

Bekas pertahanan Manchester City, Mari, menyertai Arsenal daripada Flamengo secara pinjaman pada Januari lalu sehingga penghujung musim 2019-20.

Selepas beberapa penampilan bersama skuad B-23, pemain berusia 26 tahun itu beraksi buat kali pertama ketika The Gunners menewaskan Portsmouth 2-0 dalam aksi Piala FA, 2 Mac lalu.

Dia kemudian beraksi selama 90 minit tatkala Arsenal mengatasi West Ham United 1-0 dalam aksi terakhir sebelum saingan ditangguhkan ekoran wabak coronavirus.


Pemain dari Sepanyol itu menyatakan keinginannya untuk kekal di Emirates secara tetap serta menegaskan kesan yang Arteta berikan dalam corak permainannya.

"Arteta telah menjalankan tugas dengan baik. Saya gembira untuk bekerja dengannya," kata pertahanan itu.

"Dia telah membantu saya mengatasi kelemahan dan meningkatkan kekuatan. Saya harap dapat bersamanya dalam tempoh yang lama.

"Banyak perkara boleh dipelajari tetapi saya fikir aksi bola sepak mampu menjadi sangat bagus bersama Arsenal.

"Saya harap pihak kelab dapat mencapai keputusan terbaik untuk saya berpindah secara tetap. Kami perlu lihat apa yang akan berlaku kerana ketika ini, situasi virus sangat sukar."