Pengurus Itali, Roberto Mancini, tidak berminat untuk kembali mengendalikan kelab sebelum tugasannya bersama skuad Azzurri itu selesai.

Laporan di Itali mengaitkan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menghubungi bekas pengurus Manchester City itu.

Mancini juga pernah membimbing Lazio, Inter, Galatasaray dan Zenit, sebelum mengambil tugas Itali, yang ketika itu berada dalam kemelut prestasi, pada 2018.

Kegagalan pasukan itu untuk lolos ke Piala Dunia pada tahun berkenaan meninggalkan Mancini dengan tugasan berat untuk membentuk semula pasukan dan hasilnya mereka merakamkan 10 kemenangan daripada 10 perlawanan kelayakan Euro 2020, sekali gus membuktikan bahawa mereka sedang meniti di landasan yang tepat.

Ditanya mengenai tawaran yang diterimanya, semalam Mancini berkata: "Matlamat saya untuk mengharungi kempen Euro dengan baik dan beraksi dengan baik dalam Piala Dunia. Ia akan menjadi satu kekesalan untuk menyerahkan amanah pasukan kebangsaan ini kepada orang lain.

"Tidak ada kelab yang cuba memancing saya pada musim panas ini."

Bekas tonggak kebangsaan berusia 55 tahun itu, yang mengurus Manchester City untuk mendakap gelaran Liga Perdana pada 2012 selain tiga kejuaraan berturut-turut ketika Inter mengungguli Scudetto dari 2006 hingga 2008, percaya masa depan Itali kelihatan cerah dalam Euro diikuti oleh Piala Dunia pada 2022.

Mancini, yang dipetik secara meluas di media Itali, menambah: "Kami memulakan tanggungjawab ini sejak dua tahun lalu apabila berdepan rintangan besar dalam semua hal, tetapi saya rasa kami berjaya melaksanakan satu pekerjaan yang hebat dan kami berharap dapat meningkatkannya dengan lebih banyak lagi."

Penangguhan Euro 2020 kepada tahun depan telah mengganggu perancangannya dengan fokus Mancini kini tertumpu kepada kempen Liga Negara-Negara Eropah.

Mereka bakal menghadapi Bosnia-Herzegovina di Florence, Sabtu ini sebelum menentang Belanda di Amsterdam, Selasa depan.