Manchester United capai kesepakatan dengan Atalanta dapatkan Amad Diallo

Oleh Muzaffar Musa 6 Oktober 2020 2583
Manchester United capai kesepakatan dengan Atalanta dapatkan Amad Diallo
Manchester United mencapai kesepakatan dengan Atalanta untuk mendatangani pemain sayap berusia 18 tahun, Amad Diallo.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkata pemain kebangsaan Ivory Coast berkenaan akan menyertai mereka "pada tarikh akan datang bergantung kepada ujian kesihatan, terma peribadi dan permit kerja".

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi mereka, kelab itu turut berkata mereka sudah mula memerhatikan Diallo sejak 2016 ketika pemain itu beraksi di peringkat B-15.

Diallo diturunkan sebanyak tiga kali dalam pasukan utama kelab Itali itu musim lalu dan menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya ketika menewaskan Udinese 7-1 pada Oktober tahun lalu.

United tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan itu tetapi ia dilaporkan sekitar £37 juta (RM199.3 juta).

United kelihatan sibuk pada hari terakhir jendela perpindahan apabila turut mendapatkan Edinson Cavani secara perpindahan percuma dan Alex Telles daripada Porto manakala Chris Smalling menyertai pasukan Serie A, AS Roma, secara tetap.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen