Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menegaskan ia bukanlah "pengakhiran kepada sebuah pengembaraan" -- tanpa mengira keputusan bertemu Leicester City sambil mengintai slot empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) semakin hampir di dalam genggaman yang menyaksikan United kini menguasai tangga ketiga, di depan Chelsea berdasarkan perbezaan gol sementara meninggalkan pasukan di tangga kelima, Leicester, dengan kelebihan satu mata menjelang kunjungan perlawanan terakhir ke Stadium King Power, malam ini.

Berikutan The Red Devils mendambakan untuk kembali mewarnai UCL, Solskjaer menganggap kelayakan ke kejohanan kelab utama Eropah itu akan menjadi langkah dalam usaha sebaris dengan juara Liga Perdana Inggeris (Liverpool) dan Manchester City yang dipimpin Pep Guardiola.

"(Usaha) kami belum berakhir," katanya -- United tidak menjulang EPL sejak musim terakhir Alex Ferguson pada 2012-13.

"Sekiranya kami meraih keputusan menarik ketika menentang Leicester, saya rasa orang akan mengatakan bahawa kami tidak menempuhi perjalanan buruk musim ini.

"Tetapi apa pun yang berlaku, itu bukan penamat kepada perjalanan ini kerana masih ada perkara yang harus dilakukan untuk mencapai tahap kedua-dua pasukan di depan kami."



Tambah Solskjaer: "Seandainya anda ingin menjadi sebahagian daripada Manchester United, anda harus menggalas tekanan dalam perlawanan akhir musim ini.

"Ini bukan sesuatu yang baru, inilah (reputasi) yang telah dibina kelab ini. Kami telah memberi diri sendiri satu peluang hebat untuk mengakhiri musim dengan bergaya dan sekarang terserah kepada kami untuk menghadapinya."

"Ini bukanlah perlawanan yang paling penting musim ini, ini hanyalah satu lagi perlawanan dan anda boleh bertanya kepada siapa sahaja dalam bola sepak, aksi berikutnya selalunya akan menjadi perlawanan yang paling mustahak," sambungnya.

"Kali ini keputusannya tidak akan menentukan musim kami kerana kami sudah mempunyai banyak detik penentu musim ini. Kehadiran Bruno Fernandes membuat perbezaan besar dan saya rasa secara keseluruhannya, kecergasan dan ketahanan mental kami ketika ini adalah jauh lebih baik daripada musim lalu. "