MANCHESTER UNITED 2 ASTON VILLA 1

Bruno Fernandes percaya Paul Pogba yang kembali menemui keyakinan akan terus berkembang selepas masing-masing memainkan peranan jitu dalam kemenangan Manchester United ke atas Aston Villa di tempat sendiri, awal pagi tadi.


The Red Devils meraih gol pendahuluan menerusi Anthony Martial menuju waktu rehat tetapi Bertrand Traore meletakkan pelawat kembali mengimbangi kedudukan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Begitupun, usaha Pogba memastikan United kembali di depan -– yang melepaskan empat percubaan dan mencipta dua umpanan menarik termasuk muncul pemain paling banyak melakukan sentuhan (69) buat tuan rumah -– dikasari di dalam kotak penalti.

Fernandes menyempurnakan sepakan penaltinya -– kali kesembilan sejak Februari 2019 -– dan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu terpaksa bekerja keras pada penghujung perlawanan untuk mempertahankan tiga mata berkenaan, sekali gus berkongsi kedudukan pendahulu di samping Liverpool.

"Saya fikir Paul beraksi hebat, gerakan gol pertama itu melalui sentuhannya yang menarik. Kita semua kualiti yang dimilikinya, tiada keraguan tentang itu," kata Fernandes kepada MUTV mengenai gandingannya di bahagian tengah itu.

"Kami tahu dia berkemampuan, boleh menyumbang, beraksi dengan cukup baik dan hari ini dia berjaya melakukannya. Dia terbabit dalam kedua-dua gol kami. Dia melindungi bola dan membawanya menjauhi pemain lawan ketika memenangi penalti itu.

"Dia akan lebih banyak menyumbang dengan sebaik keyakinannya kembali dalam setiap perlawanan."





The Red Devils dipisahkan dengan Liverpool, yang akan berdepan Southampton tengah malam Isnin ini, melalui perbezaan gol berkelebihan.

Kejayaan membenam Villa itu menyaksikan United melakar 10 perlawanan tanpa kalah selain merakam kemenangan hatrik di tempat sendiri Old Trafford.

Bagi bintang Portugis, ia petanda positif sambil menegaskan masih banyak lagi aspek yang perlu mereka tingkatkan dalam baki kempen ini.

"Kami sedang membina sesuatu yang penting, apa yang paling mustahak buat kami ialah membentuk sebuah pasukan dengan kumpulan pemain yang saling mengambil berat," katanya.

"Di bangku simpanan, semua orang menjerit ke arah kami sepanjang beberapa minit sebelum wisel penamat. Semua orang mahukan tiga mata ini dan memenangi perlawanan ini.

"Ia sukar, kami perlu belajar daripada di sini dan perlawanan bertemu Leicester (berakhir 2-2). Kami perlu beraksi lebih baik, kami berpeluang membunuh perlawanan ini.

Fernandes telah menyumbang 19 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 30 kemunculan bersama United yang akan berdepan Manchester City dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis depan.