Harry Maguire berbesar hati untuk melihat kelab yang diwakili sejak kecil, Sheffield United, menampilkan aksi cemerlang dan meraih kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris kecuali ketika menentang Manchester United.

Bek tengah England, Maguire, menjadi pertahanan termahal dunia selepas berhijrah ke Old Trafford menerusi yuran berjumlah GBP80 juta (RM428 juta) daripada Leicester City musim panas lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu muncul daripada akademi The Blades dan melakukan lebih 100 penampilan buat kelab itu sebelum menyertai Hull City pada 2014.

Tatkala The Red Devils, kini ketinggalan satu mata di belakang The Blades, dia sekali lagi berpeluang untuk beraksi di Bramall Lane apabila United turun menentang skuad kendalian Chris Wilder itu awal pagi esok.

"Ia memberi makna besar, sebuah kelab yang menyediakan peluang untuk saya memenuhi impian menjadi pemain profesional," katanya.

"Saya berhutang dengan mereka. Saya kembali dan menyokong apa sahaja yang mereka lakukan.

"Ia keputusan pertama yang saya lihat apabila keluar dari padang. Saya mahu melihat mereka menang setiap perlawanan kecuali apabila bertemu United. Ia sebuah kelab hebat dan bagus untuk melihat mereka kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris."

Maguire berpendapat dia mungkin tidak akan menerima sokongan daripada rakan-rakan tatkala dia bertandang ke kelab lamanya itu tetapi keluarga akan bersorak untuknya.

"Diharapkan saya yang akan tersenyum dengan rakan-rakan, bukan mereka," katanya.

"Saya pasti sesetengah kawan akan bersama Sheffield tetapi keluarga saya akan menyokong United. Diharapkan kami memperoleh tiga mata."