Pertahanan Arsenal, David Luiz, "tidak mempunyai keinginan" untuk meninggalkan kelab itu, menurut ejennya, Kia Joorabchian.

Ketidakpastian melingkari masa depan bekas tonggak Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) itu memandangkan The Gunners tidak mengambil pilihan untuk melanjutkan kontraknya buat tahun kedua.

Begitupun, pemain kelahiran Brazil itu sering memuji Mikel Arteta sejak pengurus berbangsa Sepanyol tersebut menggantikan rakan senegaranya, Unai Emery, sebagai pengendali The Gunners apabila telah memulakan 25 daripada 28 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Joorabchian menegaskan bahawa pemain itu tidak merancang untuk berpindah sambil mengharapkan kesepakatan dapat dicapai yang akan menyaksikan pemain berusia 33 tahun tersebut kekal di kelab London berkenaan dalam kempen 2020-21.

"Dia sangat gembira di Arsenal," kata Joorabchian kepada Sky Sports.

"Dia memiliki hubungan yang sangat baik dengan pengurus dan pengarah sukan kelab. Dia memiliki hubungan baik di seluruh kelab termasuk pemiliknya. Dia menghormati semua orang.

"Arsenal mempunyai pilihan (untuk mengekalkannya) yang sudah pun tamat tempoh. Kami berhadapan krisis COVID-19, jadi pilihan itu berakhir di tengah-tengah pandemik itu.

"Kami menyedari keadaan itu dan kami sedang berusaha. Secara perlahan-lahan beralih ke norma baru.

"Dalam situasi kontraknya -- sama ada Luiz kekal atau berhijrah -- semuanya akan dimuktamadkan sebaik kami kembali ke norma baru.

"David akan berunding dengan Arsenal sebelum musim baru bermula dan mereka akan memutuskan apakah dia akan kekal atau tidak. Ia akan diputuskan sebelum musim bermula.

"Peluang untuk (Luiz berada di Arsenal musim depan) adalah sangat tinggi . Dia tiada keinginan untuk angkat kaki."

Khabar angin mengenai perbincangan kepulangannya ke bekas kelab, Benfica, bertambah kencang selepas wawancara bersama-sama pemain Brazil itu baru-baru ini sempat membincangkan mengenai prospeknya berpindah ke sana.

Joorabchian menambah: "Apa yang dia katakan adalah, 'jika peluang itu muncul pada masa depan -- sebelum saya bersara -- saya akan kembali ke Benfica dan mengakhiri karier di mana saya memulakannya'.

"Tetapi dia tidak pernah menyebut tentang mahu kembali ke Benfica sekarang."