Ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, akan dibantu oleh Freddie Ljungberg, Albert Stuivenberg dan Steve Round, demikian disahkan kelab itu semalam.

Ljungberg bertindak sebagai pengurus sementara berikutan pemecatan Unai Emery, termasuk ketika seri tanpa jaringan dengan Everton manakala Arteta yang baru sahaja dilantik menyaksikan perlawanan tersebut.

Gandingan itu telah berbincang selepas tamat perlawanan di Goodison Park itu dan Arteta mendedahkan Isnin lalu bahawa jurulatih kelahiran Sweden itu kekal sebahagian daripada staf kejurulatihannya.

The Gunners turut mengumumkan pelantikan Stuivenberg dan Round manakala jurulatih penjaga gol, Inaki Cana Pavon, menyertai pasukan daripada Brentford.

"Saya sangat gembira dibarisi jurulatih-jurulatih berbakat untuk berkhidmat di Arsenal," kata Arteta. "Mereka menghadirkan pengalaman serta idea-idea baru.

"Bersama-sama individu berbakat yang sudah bersama kelab, mereka bakal menjadi watak penting untuk mengembalikan Arsenal ke tahap terbaik."

Stuivenberg bertugas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United ketika pasukan itu dibimbing Louis van Gaal.

Jurulatih kelahiran Belanda itu turut bertindak sebagai penolong pengurus Wales, Ryan Giggs.

Round pula berkhidmat sebagai jurulatih di Middlesbrough, Newcastle United, Everton, Manchester United dan skuad kebangsaan England. Dia juga pernah bertindak sebagai pengarah bola sepak Aston Villa.

Arsenal seterusnya akan berdepan Bournemouth esok.