Ljungberg gesa Arsenal bertindak segera 

Oleh Penulis Jemputan 16 Disember 2019 764
 Ljungberg gesa Arsenal bertindak segera 
ARSENAL 0 MAN CITY 3

Freddie Ljungberg percaya Arsenal perlu membuat keputusan segera dalam pencarian pengurus baru.

Arsenal tersungkur 0-3 kepada Manchester City awal pagi tadi, yang menyaksikan Kevin De Bruyne memainkan peranan besar dengan merakam dua jaringan menarik selain mencipta bantuan gol. 

The Gunners hanya merekodkan satu kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir yang menyaksikan lima daripadanya dikendalikan Ljungberg buat sementara waktu berikutan pemecatan Unai Emery.

Bagaimanapun, pencarian pengurus baru kelihatan masih buntu dengan laporan mengaitkan pembantu jurulatih City, Mikel Arteta, terus menjadi sasaran utama.

Lantaran itu, Ljungberg menggesa Arsenal agar membuat keputusan segera.

"Kami semua perlu cermin diri sendiri. Saya berasakan perlawanan menentang West Ham (menang 3-1) merupakan satu langkah besar ke arah yang betul," kata Ljungberg dalam sidang akhbar.

"Sudah lama saya tidak pernah melihatnya dalam pasukan ini. Hari ini, mereka (City) lebih menyerlah, mereka lebih baik daripada kami.

"Bagi saya, adalah menjadi satu penghormatan untuk menggalas tugas ini tetapi Per (Mertesacker, yang berkhidmat sebagai pembantu kepada Ljungberg) merupakan pengurus akademi dan dia sedang melakukan dua pekerjaan. Saya fikir ia perlu dijelaskan, biar semua orang tahu.

"Itulah yang saya ingin katakan tetapi ia terpulang kepada kelab. Saya sangat berbangga dan saya akan melakukan apa yang boleh tetapi saya fikir kami perlu membuat keputusan muktamad, tidak kira apakah keputusannya."

Ramai penyokong kelihatan mula meninggalkan Stadium Emirates sebelum wisel penamat ditiupkan, dengan bekas tonggak kelab itu bagaimanapun menegaskan dia berbangga dengan sokongan yang ditawarkan kepada pasukannya. 

"Saya merupakan bekas pemain Arsenal dan kami telah mencuba segala-galanya tetapi kita perlu sedikit realistik juga, ada jurang di antara kami dan City, Liverpool dan yang lain," katanya. 

"Saya gembira dan bangga dengan penyokong. Mereka memberikan sokongan kepada pemain muda. Sudah tentu mereka dapat melihat perbezaannya, mereka memberi sorakan dan akhirnya, menghargai pemain muda yang berusaha. 

"Kami sedar dalam beberapa tahun terakhir ini, kami bergelut ketika menghadapi City di tempat sendiri. Apabila kami mengetengahkan taktikal serangan balas yang merupakan salah satu pelan permainan kami, mereka sanggup mengutip lima kad kuning demi mengasari kami.

"Mungkin kami boleh belajar untuk menjadi lebih sinis dan tidak membiarkan pihak lawan melancarkan serangan balas. Itulah kelemahan kami.

"City bijak. Tidak syak lagi ia adalah satu taktikal. Mungkin kami juga perlu bersikap sinis, membuat sepakan percuma bagaikan tiada apa yang berlaku."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen