Freddie Ljungberg yakin Arsenal memiliki kualiti untuk mendapatkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris walaupun hanya mencatat keputusan seri di Norwich City dalam aksi sulung The Gunners di bawah kendaliannya semalam.

Ljungberg dilantik menjadi pengurus sementara Arsenal selepas pemecatan Unai Emery, Jumaat lalu.

Dalam aksi sulung bekas pemain Sweden itu di kerusi pengendali, Arsenal bangkit dua kali menerusi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang untuk mereka meraih keputusan 2-2 di Carrow Road.

Arsenal, yang kini di tangga kelapan liga, dibezakan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea, tetapi apabila ditanya jika mereka mampu menduduki kelompok Liga Juara-Juara Eropah, Ljungberg berkata: "100 peratus.

"Orang ramai mencicirkan mata di mana-mana, begitu juga kami, jadi ia merupakan satu saingan liga yang gila ketika ini," katanya.

"Saya tidak tahu jika anda melihatnya tetapi apabila kami ketinggalan 1-0, pemain tidak menggelengkan kepala, sebaliknya berkata 'ayuh semua, kami mampu selesaikannya'. Ia membuktikan kepercayaan mereka sebagai pemain berkualiti.

"Saya sangat bangga dengan pemain selepas mereka bangkit sebanyak dua kali, termasuk sewaktu lawan menyumbat gol sebelum rehat, terutamanya. Anda menerimanya dan moral menurun tetapi mereka bangkit dan menyelesaikannya.

"Kami perlu mengubah corak negatif. Ia satu aksi sukar dan pemain melakukannya dengan baik."

Ljungberg mendedahkan dia dalam proses untuk memuktamadkan pembinaan staf pasukan buat sementara dan berikrar untuk menerapkan pendekatan secara terus dengan pemain Arsenal.

"Kebiasaannya, saingan pramusim berjalan selama lima hingga enam minggu dan anda boleh tentukan bagaimana untuk bermain bola sepak tetapi saya tidak memilikinya," tambah pengurus berusia 42 tahun itu.

"Saya hanya cuba membina semula dan berusaha untuk mengubah perkara dalam rentak yang perlahan, jadi semua orang akan faham dan berlatih. Kini, pemain perlu pulih dan kami mungkin akan melalui satu atau dua sesi tetapi inilah bola sepak."