Liverpool telah memanggil semula bek tengah yang dipinjamkan kepada Stuttgart, Nat Phillips, bagi menambah pilihan di barisan pertahanan.

Phillips tampak bakal menghabiskan musim 2019-20 bersama kelab 2.Bundesliga itu tetapi telah kembali ke Anfield dan boleh beraksi menjelang perlawanan Piala FA menentang Everton, 5 Januari depan.

Kecederaan yang menimpa Dejan Lovren dan Joel Matip menyaksikan Liverpool kekurangan pilihan di posisi bek tengah sambil ketiadaan Virgil van Dijk akibat masalah kesihatan memaksa Jordan Henderson mengisi kekosongan itu ketika separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang Monterrey, 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, pertahanan berusia 22 tahun, Phillips, berkemungkinan kembali ke Stuttgart, bulan depan.

"Memandangkan skuad yang dimmiliki kini dihimpit masalah kecederaan dan jadual padat, Liverpool meminta untuk memanggil semula bek tengah itu daripada proses pinjaman," kata wakil Stuttgart.

"Kedua-dua kelab telah bersetuju, namun Phillips mungkin akan kembali ke Stuttgart ketika penghujung tempoh rehat musim sejuk."

Phillips telah beraksi 11 kali dalam semua kejohanan dan tujuh daripadanya berada dalam kesebelasan utama Stuttgart, musim ini.


Editor: Nafis Abdullah