Jurgen Klopp begitu terharu dengan pencapaian Liverpool menawan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejurus mereka disahkan sebagai juara sambil menyifatkannya ia sebagai "detik yang luar biasa" bagi semua pihak kelab itu.

Kekalahan 1-2 Manchester City kepada Chelsea awal pagi tadi bermakna kedudukan The Reds di puncak tidak lagi mampu digugat, sekali gus menjamin gelaran liga pertama kelab Merseyside itu dalam tempoh 30 tahun dengan baki tujuh perlawanan.

Liverpool tewas sekali dalam kempen kali ni dan biarpun penundaan saingan ini tertangguh angkara wabak COVID-19, mereka masih meniti laluan untuk ditabalkan sebagai juara.

Klopp muncul selaku pengurus The Reds pertama yang memenangi liga sejak kali terakhir Kenny Dalglish melakukannya biarpun pengurus berbangsa Jerman itu mengambil sedikit masa untuk memuktamadkannya.

"Saya kehilangan kata-kata -- ia sukar dipercayai, mungkin meleset daripada yang saya fikirkan. Untuk dinobatkan sebagai juara bersama kelab ini adalah sangat luar biasa," katanya kepada Sky Sports selepas menonton perlawanan di Manchester itu bersama-sama pemain dan kakitangannya.

"Ini adalah saat yang luar biasa. Saya sangat bangga dengan kakitangan kejurulatihan saya atas usaha yang mereka lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia satu perjalanan yang sangat menarik sejak hari pertama saya tiba hingga ke hari ini. Perjuangan kami belum selesai, itu satu perkara yang baik.

"Kami telah mengharungi beberapa tahun yang memberangsangkan jadi kami akan terus cuba (untuk menang lagi). Tetapi malam ini, kami akan menikmati saat ini. Secara jujurnya, Ia lebih daripada apa yang saya impikan."




Bekas pengendali Borussia Dortmund itu tiba di Anfield pada Oktober 2015 dan serasi dengan kelab dan bandar berkenaan.

Dia menyatakan kegembiraannya selepas penyokong kelab itu dihampakan musim lalu, malah mengakui berasa lega setelah tersekat daripada beraksi buat sekian lama akibat penularan COVID-19.

"Saya tidak perlu menunggu 30 tahun, saya berada di sini empat tahun setengah. Sebelum itu kami tidak mempunyai peluang sangat dan tahun lalu adalah yang kali pertama," tambahnya.

"Bagaimanapun, ia melegakan selepas gangguan selama tiga bulan. Tidak ada yang tahu bagaimana saingan akan dilangsungkan, kemudian kami 100 peratus tidak pasti adakah ia akan diteruskan. Setiap perlawanan EPL adalah sukar. Perlawanan menentang Crystal Palace menawarkan saya perasaan bahawa kedudukan kami akan baik-baik sahaja, itu penting buat pemain dan penyokong.

"Kejayaan ini adalah untuk anda (penyokong) di luar sana. Saya harap anda kekal di rumah, keluarlah ke depan rumah anda jika anda mahu tetapi jangan terlalu jauh untuk meraikannya.

"Kami melakukannya bersama-sama. Ia satu keseronokan untuk melakukannya demi anda."

Klopp turut memuji pemainnya sambil berkata: "Ini adalah gabungan yang hebat. Mereka semua adalah juara tanpa berasa nikmat menjulangnya sebanyak 15 kali. Ini bererti kami ada elemen itu dan kami boleh mula meraih kemenangan bersama.

"Tiga tahun lalu, kami menempuhi musim yang sangat baik dan saya fikir kami akan menduduki tempat keempat. Jelas sekali kami tidak begitu tekal tetapi kami tidak dapat melakukannya dengan sekadar menuntut barisan pemain supaya menjayakannya, sebaliknya kami harus berusaha untuk melakukannya dan meyakinkan semua orang. Itulah yang kami lakukan.

"Tanpa pemain-pemain ini, saya tidak dapat melakukan apa-apa tetapi dari semasa ke semasa saya harus membantu mereka menerusi kata-kata."

Sebelum meninggalkan stadium, Klopp menambah: "Saya benar-benar terharu, saya tidak pernah menyangka bahawa saya akan berasa seperti ini."