​Lampard puji Ancelotti menjelang kepulangan ke Chelsea

Oleh Staff Writer 7 Mac 2020 179
​Lampard puji Ancelotti menjelang kepulangan ke Chelsea
Frank Lampard memuji Carlo Ancelotti sebagai pengurus hebat menjelang kunjungan Everton ke Chelsea, malam esok, sambil menegaskan kehadiran pengurus dari Itali itu ke Stamford Bridge dialu-alukan.

Pengurus The Blues, Lampard, akan berdepan bekas pengendalinya tatkala dia mengatasi skuad kendalian Jose Mourinho, Tottenham Hotspur, dua minggu lalu.

Tatkala Chelsea dibuai dengan kemenangan ke atas Liverpool dalam saingan Piala FA, pertengahan minggu ini, usaha mereka untuk mengesahkan kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris diteruskan dengan melayan kunjungan anak buah Ancelotti.

Ditanya layanan yang akan diterima Ancelotti apabila kembali ke kelab yang pernah dibimbing sehingga meraih kejuaraan liga musim 2009-10 dan dua Piala FA, Lampard berkata: "Sesuatu yang baik. Dia sangat dihormati di dalam pasukan serta peminat.

"Dia sangat bagus dan seorang pengurus hebat. Kami melalui musim yang baik di bawah kendaliannya.

"Dia seorang pengurus yang matang. Pada tahap peribadi, dia bijak menguruskan hubungan. Dia memiliki taktikal dan disiplin yang baik.

"Saya masih berhubung dengannya sehingga hari ini."

Isu kecederaan yang menjadi kerisauan buat Lampard tampak semakin besar apabila Tammy Abraham, Ruben Loftus-Cheek, Mateo Kovacic, Christian Pulisic, N'Golo Kante dan Callum Hudson-Odoi terpaksa diketepikan.

Willian akan dipantau selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Liverpool, di mana dia meledakkan gol pembukaan.

Mengenai Hudson-Odoi yang akan menjalani imbasan, Lampard berkata: "Ia sukar. Dia tidak tergesa-gesa. kami menerima petanda dia cergas untuk berlatih tetapi kembali menerima kecederaan itu dalam sesi pertama.

"Jadi, ia mengecewakannya. Pemain muda mahu sentiasa beraksi dan seperti dijangka, ia lebih mengecewakan kerana menambah senarai kecederaan kami.

"Mungkin kami mengalami masalah kecederaan tertinggi termasuk pemain penting seperti Kante, Loftus-Cheek dan lain-lain.

"Kami memulakan musim dalam keadaan begitu dan ia berlaku sekali lagi. Kami cuba untuk mendapatkan keputusan terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen