Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menjangkakan Liverpool bakal menamakan skuad yang kuat menjelang pertemuan pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge dan percaya kekalahan 3-0 yang dialami The Reds sewaktu menentang Watford membuatkan pertemuan itu lebih sukar.

Dalam aksi ulangan pusingan keempat ketika menentang Shrewsbury Town, Liverpool menurunkan pemain skuad B-23 sambil merehatkan barisan bintang sewaktu menewaskan Everton dalam pusingan ketiga.

Namun, tatkala Piala FA kini tiba ke pusingan 16 terakhir, Chelsea bersedia untuk berdepan kesebelasan ampuh Liverpool daripada skuad yang mencabar Liga Perdana Inggeris memandangkan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu mahu bangkit daripada kekalahan pertama musim ini.

"Kami menjangkakan Liverpool akan menurunkan barisan yang kuat, mungkin yang paling bagus," kata Lampard.

"Kami tahu tidak kira skuad mana yang diturunkan, ia akan memberi cabaran buat kami. Kami perlu beraksi dengan semangat tinggi dan berada pada prestasi terbaik.

"Kekalahan yang mereka alami ketika berdepan Watford tidak menjanjikan kesenangan buat kami. Berbekalkan pengurus dan pemain yang dimiliki, ia mampu menjadi pencetus kebangkitan buat mereka. Ia bergantung kepada bagaimana anda hadapinya.

"Apabila anda melihat, mereka adalah pasukan profesional yang hebat dengan pengurus yang berdedikasi. Jadi, perkara sebegitu membuatkan perlawanan kami lebih sukar.

"Mereka menjadi manusia biasa dalam satu perlawanan dan ia boleh berlaku dalam Liga Perdana Inggeris yang sangat kompetitif. Ia terbukti dalam prestasi cemerlang mereka tahun lalu serta musim ini."