Lampard harap Hazard mahu direhatkan hadapi Derby County

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2018 628
Lampard harap Hazard mahu direhatkan hadapi Derby County
Frank Lampard menganggap prestasi semasa Eden Hazard meletakkannya sebagai pemain terbaik dunia sambil berharap bintang Chelsea itu memutuskan untuk berehat ketika menentang Derby County, awal pagi esok. 

Hazard menjaringkan lapan gol dalam 11 penampilan terakhir buat skuad bimbingan Maurizio Sarri itu sebelum direhatkan ketika menghadapi BATE Borisov dan Burnley minggu lalu akibat masalah belakang.

Lampard akan berkunjung ke bekas kelabnya itu bagi kempen Piala Liga Inggeris (EFL) pertengahan minggu ini selain mengintai satu lagi kejutan susulan kemenangan penalti ke atas Manchester United dalam aksi terakhir.

Bekas tonggak tengah England tersebut mengakui sekiranya Hazard memutuskan untuk tidak bermain menentang pasukannya, ia satu berita gembira.

"Dalam prestasi sekarang, saya fikir dia adalah pemain terbaik dunia," kata Lampard dalam sidang akhbar.

"Sudah tentu ia boleh berubah tetapi saya suka menonton aksinya dan dia berada di kemuncak prestasi.

"Dia merupakan pemain yang sangat cemerlang di dunia, jadi kami mengharapkan dia berehat! Saya fikir dia gentar untuk menentang pasukan saya!"

Rekod tidak kalah Chelsea menyaksikan mereka muncul sebagai calon utama bagi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping juara bertahan, Manchester City, dan Liverpool.

Sehubungan itu, Lampard turut terpegun dengan kesan yang dijelmakan Sarri.

"Mereka sangat mengagumkan, Sarri sangat hebat," katanya. "Kami bekerja keras di sini untuk mengubah perkara-perkara tertentu dan saya sedar banyak kerja yang perlu dibereskan.

"Beliau melakukan perkara yang sama di Chelsea dan saya lihat gabungan pemain mereka mampu memenangi gelaran."

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen