Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menggesa pemainnya agar jangan terbawa-bawa dengan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Skuad The Blues itu menewaskan Leeds United di Stamford Bridge awal pagi tadi hasil jaringan Olivier Giroud, Kurt Zouma dan Christian Pulisic untuk sekurang-kurangnya seketika berada di kedudukan teratas EPL.

Sama seperti pasukan di tangga kedua, Tottenham, yang akan berdepan Arsenal malam ini, Chelsea kini melalui rekod tanpa kalah terpanjang dalam divisyen itu selepas kemenangan terbaru di Stamford Bridge berkenaan menyaksikan mereka tidak pernah tewas dalam sembilan perlawanan terakhir.

Mereka juga merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan 25 jaringan selain merekodkan lima perlawanan tanpa bolos.

Lampard, bagaimanapun, tidak mahu pasukannya terbawa-bawa dengan kedudukan itu walaupun mereka sudah terbukti mampu mencabar kejuaraan musim ini.

"Ia awal Disember dan perjalanannya masih jauh. Tetapi kami sedang meningkat," katanya kepada Sky Sports.

"Sama ada musim ini akan melonjakkan kami seperti yang kami mahukan atau tidak, saya tidak tahu tetapi kami sedang bergerak ke arah yang betul.

"Apabila anda membawa masuk pemain baru, anda mempunyai pemain muda, anda mencuba untuk menyatukan mereka. Saya amat gembira. Ia berhasil di padang latihan dan staf di belakang tabir.

"Dengan tahap kami di Chelsea, mereka akan sentiasa mempersoalkannya. Tugas kami adalah untuk tidak terbawa-bawa dengan perbualan seperti itu.

"Kami perlu kekal berpijak di bumi nyata. Perjalanannya masih jauh. Buat masa ini, kami berada di laluannya," katanya.