Kontrak baru: Liverpool hanya serlah separuh potensi -- Klopp 

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2019 1378
Kontrak baru: Liverpool hanya serlah separuh potensi -- Klopp 
Jurgen Klopp percaya juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL), Liverpool, belum memenuhi separuh daripada potensi sebenar mereka tatkala pengurus berbangsa Jerman berkenaan melaungkan keazaman untuk perancangan jangka masa panjang yang seterusnya. 

Pengurus The Reds berusia 52 itu bersetuju melanjutkan kontrak selama dua tahun lagi, malam tadi, dengan melanjutkan perjanjiannya sehingga 2024.

Dia memberi impak besar sejak mengambil alih jawatan itu empat tahun lalu dan kini meniti kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka yang pertama sejak 30 tahun lalu.

Liverpool kini lapan mata mendahului liga selain layak ke pusingan kalah mati kempen Eropah, menurut pengurus berkarisma itu. 

"Kami tidak berasakan kami sudah menghampiri kemuncak prestasi," katanya kepada laman sesawang kelab berkenaan selepas menandatangani perjanjian baru itu.

"Kami berasakan seperti sudah mencapai potensi maksimum, padahal kami belum separuh pun berada di tahap yang dihajati."

Tambahnya: "Kami tidak fikir bahawa kami sudah menghampiri prestasi 100 peratus tetapi kami sedang mendekatinya. 

"Inilah yang kami katakan selepas final UCL. Selepas (mencapai trofi) yang pertama, selepas yang kedua bahawa ini bukanlah bab terakhir buat pasukan ini, ada banyak lagi yang perlu ditulis dan kami ingin memainkan pengaruh besar di dalamnya.

"Kami tidak tahu ke manakah ia akan membawa kami. Saya tidak tahu mengenai pasukan ini sebelum saya tiba tetapi ia adalah salah sebuah pasukan yang paling komited untuk berusaha buat kelab ini dan adalah menarik untuk menjadi sebahagian daripadanya. "

Pembantu kepada Klopp, Peter Krawietz dan Pepijn Lijnders, turut memeterai kontrak baru sehingga 2024.

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu berkata rundingan mengenai masa depannya tidak akan mencapai kata sepakat sekiranya tanpa jaminan terhadap Krawietz dan Lijnders.

"Tanpa perjanjian yang menjamin kedudukan mereka, ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya.

"Itulah caranya dalam hidup saya, saya sering mengatakan bahawa bahagian paling penting merupakan kegembiraan pembantu saya, kemudian barulah kami boleh berbincang. Ia tiada bezanya di sini."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen