SOUTHAMPTON 1 EVERTON 0

Pengurus Everton, Ronald Koeman, menyuarakan kekecewaan selepas pasukannya banyak membazirkan peluang di depan gol ketika tewas 1-0 kepada bekas kelab kendaliannya, Southampton.


Anak buah Koeman gagal mencari gol penyamaan selepas pasukan tuan rumah mendahului perlawanan seawal minit pertama menerusi gol daripada Charlie Austin.

"Selepas mereka menjaringkan gol pada minit yang pertama, mereka bertahan dan menantikan saat terbaik untuk melakukan serangan balas," kata Koeman kepada BBC Sport.

"Pemain-pemain telah beraksi dengan baik dalam separuh masa kedua tetapi jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak boleh memenangi perlawanan.

"Kami menyedari The Saints adalah pasukan yang berkualiti, mereka bermain di Eropah dan memiliki beberapa pemain berkualiti," tambahnya.

Dalam pada itu, pengendali Southampton, Claude Puel, melihat beberapa peluang untuk mempertingkatkan lagi mutu permainan pasukannya.

"Ia merupakan persembahan yang baik kerana kami memiliki beberapa masalah kecederaan sebelum perlawanan berlangsung.

"Selepas tewas kepada Sparta Prague, kami perlu kembali mempamerkan aksi yang cemerlang dan kami sangat gembira dapat meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini."