Klopp: Saya tidak pernah khuatir prestasi Salah 

Oleh Staff Writer 10 Disember 2018 586
Klopp: Saya tidak pernah khuatir prestasi Salah 
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan beliau tidak pernah bimbang dengan prestasi Mohamed Salah selepas anak buahnya itu melakar jaringan hatrik ketika menentang Bournemouth.

Hatrik Salah membantu Liverpool untuk menang 4-0 dan merampas kedudukan puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin. 

Pemain Mesir berkenaan masih belum menyerlahkan sentuhan berbisanya seperti musim lalu, namun dia kini sudah mencapai 12 gol dalam 22 perlawanan dalam kempen musim ini.

Namun, Klopp mendakwa beliau tidak pernah gusar dengan prestasi Salah meskipun banyak keraguan yang mengelilingi pemain berusia 26 tahun itu.

"Lihatlah, tugas anda (pihak media) juga sukar -- anda perlu membuat penilaian pada setiap masa," katanya kepada akhbar UK.

"Saya berminat untuk bercakap mengenainya pada masa ini tetapi saya tidak pernah menghakiminya kerana ketika ini, kami baru mengharungi kempen, jadi saya tidak mempunyai kebimbangan walaupun sesaat," tambahnya.

Musim pertama Salah di Liverpool adalah pencapaian yang luar biasa selepas dia menjaringkan 44 gol dalam 52 penampilan.

Klopp berkata penyerang itu juga perlu belajar untuk berhadapan dengan jangkaan tinggi selepas musim prolifiknya pada 2017-18.

"Kami perlu sentiasa meningkatkan permainan untuk mengesahkan dan memperbaiki lagi pencapaian musim lalu, iaitu 41 gol. Semua orang akan sedikit bergelut untuk mencari jalan bagaimana untuk terus memperbaiki prestasi," katanya.

"Jika anda menjaringkan gol dalam lima perlawanan pertama dengan 10 gol, semua orang akan berkata, 'Ya, ini akan berulang lagi'. Dan jika anda berakhir dengan 39 gol, orang akan berkata, 'Ya, tapi bukannya 41'.

"Kami harus belajar untuk menanganinya, begitu juga dia. 

"Dia tidak pernah berdepan musim seperti itu dan dia mahu mengulanginya. Bagaimanapun, anda perlu membuat langkah demi langkah, jadi itulah yang sedang kami lakukan."

Liverpool bakal berdepan tugas getir sempena aksi Liga Juara-Juara (UCL) apabila melayani Napoli di laman sendiri pada awal pagi Rabu ini sebelum menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam liga.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen