LIVERPOOL 0 EVERTON 2

Jurgen Klopp mempersoalkan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Everton yang menjinakkan Liverpool 2-0 dalam pertembungan 'derby Merseyside' di Anfield, awal pagi tadi.


Pelawat yang dikendalikan Carlo Ancelotti melakar kemenangan pertama di seteru kota mereka itu dalam tempoh hampir 22 tahun hasil gol sumbangan Richarlison seawal minit ketiga dan Gylfi Sigurdsson.

Tendangan penalti Sigurdsson pada minit ke-83 susulan kekasaran terhadap Dominic Calvert-Lewin dianggap sebagai membunuh sisa kebangkitan tuan rumah dalam perlawanan itu.

Pengadil, Chris Kavanagh, diminta untuk memeriksa kejadian itu menerusi video bantuan pengadil (VAR) sebelum memuktamadkan keputusannya, ia mencetuskan kekecewaan buat bekas pengendali Borussia Dortmund berkenaan.

Ditanya mengenai insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan, pengurus Liverpool tersebut berkata: "Saya benar-benar menganggap adalah tidak adil untuk soalan ini ditujukan kepada saya kerana semua pihak bertanya kepada saya mengenainya, maksudnya semua orang menganggap ia bukan satu kekasaran.

"Tetapi ia sudah tidak penting lagi memandangkan pengadil sudah menganggapnya sebagai satu penalti. Saya ingin bercakap dengannya selepas menjalani beberapa temu ramah tetapi nampaknya dia sudah meninggalkan stadium.

"Saya ingin bertanya apa yang telah dilihatnya? Oleh kerana situasi ini menuntut anda menggunakan VAR, maka saya rasa dia ragu-ragu dengan keputusannya awalnya.

"Tetapi dia hanya memerlukan sesaat untuk ke tepi padang dan menonton VAR dari jarak tiga, empat ela dan ya, penalti.

"Dia dapat melihat dengan jelas sesuatu yang tidak dilihat oleh semua orang. Saya belum melihatnya (rakamannya) lagi tetapi semua orang yang menontonnya memberitahu saya hal yang sama: 'Bagaimana ia adalah sepakan penalti?'"




Tatkala mereka perlu berhadapan dengan kekecewaan kekalahan 'derby', The Reds meratapi satu lagi krisis kecederaan membabitkan Jordan Henderson.

Mengenai situasi kaptennya itu, Klopp menambahkan: "Ia berkaitan masalah pangkal paha dan tiada seorang pun di jabatan perubatan yang positif tentang hal ini.

"Jadi, ia kelihatan tidak bagus tapi kami harus menunggu pemeriksaan lanjut esok."

Mengenai rentak keseluruhan juara bertahan itu tersebut awal pagi tadi, pengurus Jerman menganggap kepincangan benteng dan ketumpulan jentera serangan merupakan punca kekalahan mereka.

Ditanya mengenai seberapa besar keputusan itu memberi kesan, dia berkata: "Banyak. Banyak. Tetapi kami melepaskan gol pertama yang sama sekali tidak perlu, jangan lupa tentang itu dan ia mempengaruhi perlawanan ini.

"Ada dua perkara utama, kami harus bertahan dan menjaringkan gol dan dalam satu gerakan, kami tidak bertahan dengan cukup baik hingga memberikan ruang buat mereka menghasilkan gol.

"Kami melakukan kesilapan, jika anda mahu (mengatakan sebegitu). Dan kami tidak menggunakan memperagakan corak permainan sendiri dan itulah sebabnya kami meraih satu keputusan yang mengecewakan."