Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata dia tidak dapat membantu mereka yang menyalahkan Dejan Lovren selepas meraih kekalahan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Rekod 44 perlawanan tanpa kalah yang dipegang The Reds dalam Liga Perdana Inggeris akhirnya tamat selepas tewas 3-0 di Watford, Ahad lalu.

Lovren menggantikan Joe Gomez yang cedera untuk bergandingan dengan Virgil van Dijk selaku bek tengah dan dikritik susulan persembahan buruk.

Namun, Klopp percaya tiada seorang pemain daripada pasukannya -- yang masih kekal memiliki kelebihan 22 mata di puncak liga -- beraksi dengan baik.

"Terdapat banyak penjelasan untuk kekalahan itu. Saya tidak mempunyai jawapan yang menarik tetapi kami tidak beraksi dengan baik," katanya.

"Watford menyakiti kami dalam situasi di mana kebiasaannya kami beraksi dengan baik. Ia bukan hari di mana kami mempamerkan aksi terbaik. Ia juga adalah satu aksi yang sukar kerana Watford bertahan dalam formasi 6-3-1 sekali gus memberikan cabaran untuk beraksi.

"Saya benar-benar berfikir kami akan menemui rentak dalam babak kedua, namun kami dibolosi gol pertama dan kedua.

"Situasi yang kami lalui tidak dapat difikirkan kerana tiada siapa melaluinya sebelum kami.

"Ia adalah 44 perlawanan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris. Sebelum Watford, kami tewas di Manchester City dan ia disebabkan 11 milimeter. Bayangkan jika kami tidak tewas dalam aksi itu, ia akan membawa kepada lebih 60 perlawanan tanpa kalah dan itu sangat hebat.

"Ia bukan detik untuk menyifatkannya sebagai petanda sesuatu yang buruk akan berlaku. Kami mempunyai peluang untuk bangkit dan itulah yang sebenarnya.

"Jika ada sesiapa yang menyalahkan Lovren sebagai punca kekalahan, saya tidak dapat membantu mereka. Satu cabaran besar buat Lovren berdepan Troy Deeney. Ramai bek tengah yang bergelut dalam situasi itu, begitu juga Joe Gomez sebelum ini.

"Ia sesuatu yang normal. Lovren dan Joel Matip beraksi dalam posisi itu buat kami sebelum ini tetapi seperti orang lain, anda perlu kekal sihat dalam kehidupan, kemudian harus cergas. Kemudian, perlu dapatkan rentak kerana ia perkara paling penting dalam bola sepak profesional kerana jika tidak, anda tidak akan bermain.

"Lovren adalah seorang bek tengah yang hebat. Jika anda boleh beritahu saya seorang pemain yang beraksi dengan normal Sabtu lalu, saya akan sangat terkejut."