Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak perlu menjual Philippe Coutinho untuk mengimbangi perbelanjaan mereka selepas membayar sebanyak GBP75 juta (RM411 juta) bagi mendapatkan pertahanan Southampton, Virgil van Dijk.

The Reds mengambil langkah menandatangani pemain kebangsaan Belanda itu, yang menjadi pertahanan termahal sepanjang zaman.

Barcelona masih memasang impian untuk mendapatkan perancang dari Brazil, Coutinho, salah seorang tunjang skuad Liverpool selepas meledak tujuh gol dalam bulan Disember.

Laporan menyatakan Barcelona akan berusaha mendapatkan pemain itu tetapi Klopp yakin kehadiran Van Dijk tidak akan memberi kesan mengenai masa depan pemain itu selepas menolak bidaan GBP115 juta (RM631 juta) daripada pendahulu LaLiga itu, Ogos lalu.

"Tidak, tiada siapa yang memberitahu saya bahawa kami perlu menjual Coutinho," katanya.

"Kami memiliki barisan pemain berkualiti dan akan tidak akan melepaskan mereka."

Klopp memberikan tanggungjawab kepada Coutinho untuk bertindak selaku kapten selepas Jordan Henderson terpaksa direhatkan kerana kecederaan hamstring.

"Perkara paling utama buat masa ini adalah saya sangat berminat dengan cara permainan yang ditampilkan oleh Coutinho. Prestasinya semakin meningkat dalam beberapa perlawanan lalu.

"Dia mempamerkan perwatakan yang sangat baik ketika beraksi mahupun dalam sesi latihan. Saya percaya dia komited untuk meneruskan aksi bersama Liverpool," tambahnya.