Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Virgil van Dijk mampu mengetepikan Lionel Messi untuk unggul dalam majlis anugerah Ballon d'Or bulan depan.

Pertahanan Belanda itu mengharungi musim yang menakjubkan bersama Liverpool apabila membantu The Reds memenangi Liga Juara-Juara (UCL), Jun lalu.

Mereka terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu tetapi sedang meniti kegemilangan domestik di England ketika ini apabila belum kalah.

Klopp sedar mengapa bintang Barcelona, Messi, menjadi menjadi sebutan hangat untuk anugerah individu berkenaan atas pencapaian dalam kerjayanya.

Tetapi daripada segi untuk memberikan Ballon d'Or keenam kepada ketua pasukan Argentina itu, Klopp percaya terdapat alasan yang kukuh untuk melihat pertahanan Liverpool itu membawa pulang trofi tersebut dalam upacara yang akan diadakan Paris itu, Isnin depan.

Perancang Real Madrid, Luka Modric, merupakan pemenang tahun lalu bagi anugerah yang dianjurkan oleh majalah France Football itu setiap tahun.

Pengurus berbangsa Jerman itu berkata: "Jika anda memberikan Ballon d'Or kepada pemain terbaik generasi ini, maka anda boleh memberikannya kepada Lionel Messi.

"Tetapi jika anda mahu memberikannya kepada pemain terbaik musim lalu, maka orangnya adalah Virgil van Dijk.

"Jadi, saya tidak tahu dengan tepat bagaimana keputusan itu dibuat tetapi itulah bagaimana saya melihatnya.

"Jika ia untuk pemain terbaik, maka Lionel adalah pemainnya. Pemain terbaik musim lalu pula adalah Virgil. Jadi, kita akan lihat kelak."

Van Dijk membantu Belanda untuk layak ke Euro 2020 tahun ini sementara Messi tampil menduduki tempat ketiga bersama Argentina dalam Copa America.