Jurgen Klopp berikrar Liverpool akan menjadi "tamak" dalam perebutan piala musim depan selepas menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pertama di bawah bimbingannya.

The Reds sedang berusaha mengumpul 99 mata apabila berkunjung ke Newcastle United dalam hari terakhir kempen musim ini, malam esok.

Liverpool kini merupakan juara kelab Inggeris, Eropah serta dunia dan mahu kekal begitu dalam tahun-tahun akan datang.

Penghargaan terbaru menyaksikan ketua pasukan, Jordan Henderson, diangkat sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak semalam.

Bagaimanapun, Klopp melihat kejayaan yang diraih kelab dari Merseyside itu sebagai insentif untuk meneruskan dan mengumpul lebih banyak trofi selepas berjaya mengikis reputasinya sebagai individu yang malang.

"Secara jujurnya, ia tidak menjadikannya lebih mudah tetapi sekurang-kurangnya ia menawarkan anda bukti," katanya sambil merenung prestasi Liverpool baru-baru ini.

"Saya pakar dalam meraih tempat kedua, jadi ia memerlukan kekuatan mental untuk mencubanya lagi, lagi dan lagi.

"Saya melihat kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) tahun lalu membuatkan perkara yang lain nampak boleh menjadi kenyataan."

Anak buahnya dikecewakan ketika mengintai gelaran pada musim 2018-19 menerusi jurang tipis dengan Manchester City.

"Saya fikir, ia reaksi yang amat baik tetapi apabila anda sudah begitu hampir dengannya, anda hanya perlu melabur lebih besar lagi demi mengatasi hal itu," katanya.

"Kami akan tetap bersikap tamak. Kami harus dan kami akan melakukannya tetapi jika itu secara automatik membawa lebih banyak piala kepada kami, saya tidak pasti kerana pasukan lain juga mempunyai alasan lain untuk membuat langkah seterusnya."


Pengurus dari Jerman itu menganggap di sebalik pasukannya sudah menjadi sebuah pasukan yang sukar ditangani, dia masih menyimpan hasrat untuk memantapkannya pada 2020-21 memandangkan Liverpool berhasrat memenuhi kabinet piala di Anfield.

Dia berkata: "Kami akan berusaha memperbaiki segalanya. Jika pemain terpilih untuk beraksi dalam perlawanan terakhir musim ini, malam esok, nikmatinya dan bergembiralah 100 peratus kerana pertengahan bulan depan kami akan kembali berlatih dan kami akan mencubanya lagi dengan segala sumber yang kami ada.

"Ini kisah yang sangat bagus sebagai catatan pemain-pemain saya sepanjang tahun ini, tetapi perjuangan kami belum selesai.

"Kami akan memutuskan bilakah sudah selesai."