Jurgen Klopp mengakui bahawa Liverpool akan lebih senyap dalam jendela perpindahan kali ini dan pengurus itu berkata dia tidak menjangkakan perkara sebaliknya.

Liverpool menjulang trofi liga pertama sejak 1990 dan mencatatkan kemenangan dalam 28 daripada 31 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang didominasi mereka musim ini.

Dalam masa sama, Liverpool sedang hangat dikaitkan dengan beberapa nama seperti bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, Kai Haverts (Bayer Leverkusen) dan Thiago Alcantara (Bayern Munich).

Tetapi Klopp berkata ia mungkin akan menjadi jendela perpindahan yang senyap buat pasukannya, dengan pandemik koronavirus turut memberikan impak ekonomi dalam dunia bola sepak.

"Ia tentang bagaimana pengaruh krisis koronavirus akan memainkan peranan dalam kewangan hidup kita. Ia bukan hanya bola sepak, kita semua akan rasa kesannya tidak lama lagi.

"Tiada siapa tahu betapa besar sebenarnya kesan itu. Harap-harap ia akan berakhir tidak lama lagi tetapi kami tidak sepatutnya berikap sambil lewa bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.

"Kami tidak boleh membelanjakan berjuta-juta kerana kami mahu, atau berfikir bahawa ia tidak baik untuk dilakukan.

"(Realitinya) Covid-19 telah memberikan kesan dari luar dan dalam.

"Ia mungkin bukan lagi musim panas yang sibuk di dunia," katanya.

Liverpool berkelebihan 23 mata di puncak Liga Perdana Inggeris, semusim selepas mereka turut menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Klopp, yang pasukannya akan bertandang ke laman Manchester City awal Khamis ini, percaya dia mempunyai skuad yang kuat untuk meneruskan cabaran.

Dia berkata: "Ia bukannya skuad yang anda perlu tukar sekarang sambil berkata, 'OK kami mahu posisi ini dan posisi ini.'

"Kami tidak mempunyai kesebelasan utama, saya katakan kami mempunyai 16 atau 17 pemain utama, mereka boleh beraksi pada tahap yang sama.

"Tetapi kami perlu menggunakannya secara 100 peratus," katanya lagi.