Klopp ikrar motivasi Liverpool tidak pudar 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Ogos 2020 211
Klopp ikrar motivasi Liverpool tidak pudar 
Jurgen Klopp menegaskan bahawa motivasi Liverpool tidak akan luntur dalam mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua berturut-turut sesudah berjaya menamatkan penantian selama 30 tahun. 

Klopp berhasil membawa trofi idaman itu ke Anfield musim lalu dengan mengumpul 99 mata. 

Namun, ketika kejayaan itu melegakan penyokong The Reds, pengurus berkenaan enggan bersandarkan kepadanya semata-mata ketika mempersiapkan Liverpool bagi menghadapi cabaran baru. 

"Motivasi tidak akan menjadi masalah buat kami," katanya menjelang pertemuan dengan Arsenal bagi perebutan Piala Sumbangsih malam ini. 

"Adakah kami akan kalah? Saya tidak menyukainya, tapi mungkin ya. Ini semua tentang bagaimana kami menghadapi situasi yang berbeza. Mungkin kami akan memenangi perlawanan tetapi bagaimana anda menangani situasinya?

"Tiada perubahan ketara tentang semua ini; ia tentang bagaimana perasaan anda ketika tewas dan menang. Saya tahu pasukan ini tidak akan berhenti mencuba dan hanya itu yang saya perlukan.

"Saya tidak akan berhenti mencuba tetapi saya tidak mengharapkan semuanya akan menjadi kenyataan. Saya tidak pernah menjangkakannya dan tidak mengharapkannya ketika ini. Tetapi saya akan memberikan segalanya secara mutlak dan saya mengharapkan anak-anak buah saya juga begitu. 

"Ia akan membawa kami ke posisi yang benar-benar kompetitif dan bersaing adalah langkah pertama untuk menjulang gelaran, peluang untuk menentukan keputusan. 

"Itulah yang kami pelajari sedikit demi sedikit tetapi jika kami masih mampu melakukannya, kami harus melakukannya dengan baik di lapangan."

 

Bagaimanapun, Klopp menyifatkan Chelsea, Manchester United dan Manchester City sebagai calon utama dalam menentukan kejuaraan. 

The Blues sangat aktif dalam pasaran perpindahan sementara City yang dikaitkan dengan Lionel Messi, namun Klopp menuntut anak buahnya agar tetap tekal dalam persembahan. 

"Mungkin setiap tahun akan menjadi lebih sukar dan pastinya tidak mudah berbanding musim lalu," katanya.

"Ia kelihatan seperti itu memandangkan kami dianggap sebagai mesin keputusan. 

"Ia selalu sukar, semua permainan kami harus gigih berusaha. Itulah yang bakal dipertaruhkan kali ini.

"Sekiranya anda membuat banyak perubahan terhadap skuad, ia sesuatu yang bagus tetapi ia menuntut perancangan jangka panjang berbanding jangka pendek memandangkan keperluan membentuk keserasian.

"Kami mempunyai sedikit kelebihan kerana kami sudah terbiasa beraksi bersama-sama, jadi kami tahu apa yang kami perlu dibuat pada saat-saat tertentu.

"Tetapi kami harus mengadunkannya dengan sikap sensasi menerusi keinginan tinggi dalam perlawanan. Kami perlu agresif dengan gerakan dan pergerakan. Kami perlu sentiasa dalam keadaan 100 peratus dan selalu mengambil berat dengan kemampuan sendiri. 

"Ia sangat sukar tahun lalu (menjuarai liga), sangat sukar bagi City pada tahun sebelumnya, jadi tentu sahaja musim ini akan menjadi sukar buat semua pasukan. Tetapi ia belum lagi diputuskan, jadi ayuh mencubanya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen