LIVERPOOL 2 LEICESTER CITY 1

Jurgen Klopp memuji tindak balas Liverpool terhadap gol awal yang diperoleh Leicester City dengan menganggap ia satu perlawanan terbaik yang pernah disaksikannya selepas Mohamed Salah menjadi pencetus kemenangan 2-1 mereka dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi.


Jamie Vardy meneruskan kebiasaannya menjaringkan gol ketika menentang Liverpool dengan menyudahkan hantaran Riyad Mahrez pada minit ketiga -- jaringan ketujuh penyerang England itu dalam lima perlawanan terakhirnya menentang pasukan Klopp.

Leicester mengekalkan kedudukan 1-0 sebelum waktu rehat dan dua jaringan Liverpool hadir dalam babak kedua menerusi Salah yang membolehkan pemain sayap Mesir itu menghimpun 23 gol dalam semua pertandingan musim ini.

"Ia adalah kepuasan maksimum dapat menang seperti ini. Hari ini cukup sempurna," kata Klopp kepada BBC Sport.

"Ketika kami ketinggalan satu gol, reaksi kami adalah terbaik yang pernah saya saksikan dalam situasi seperti ini.

"Semua tidak percaya dan kami memerlukan mereka untuk menjaringkan dua gol ini.

"Mo (Mohamed Salah) sangat hebat mengawal bola dan visinya. Saya tidak minta lebih lagi daripadanya."

Klopp menambah: "Kekal dalam permainan adalah sangat baik tetapi saya gembira dengan Mo, saya gembira kerana pasukan ini adalah kumpulan pemain hebat.

"Ini prestasi pasukan yang baik dan kami layak menang," katanya lagi.

Liverpool berada di tangga keempat dalam Liga Perdana selepas mengharungi 12 perlawanan tanpa tewas dan akan berkunjung ke Burnley malam esok, sementara Leicester menjadi tuan rumah dalam aksi menentang Huddersfield Town.

"Sudah tentu, tewas adalah satu kekecewaan tetapi Liverpool bermain terbaik," kata pengurus Leicester, Claude Puel.

"Kami melakukan dengan baik dengan menjaringkan gol pertama dan kami cuba mengekalkannya pada babak kedua. Kami perlu meneruskan tugas kami tetapi penting untuk menumpukan perhatian terhadap aksi esok dan melupakan perlawanan ini," katanya.