Jurgen Klopp menyifatkan rekod pungutan mata Liverpool sebagai sesuatu yang istimewa tetapi menegaskan bahawa dia tidak akan terbawa-bawa dengan kejayaan itu selagi pasukannya masih boleh dipintas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds mengumpulkan 61 mata daripada 21 perlawanan musim ini selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur hasil jaringan Roberto Firmino di London awal pagi tadi.

Ia merupakan pungutan mata terbanyak di peringkat itu sepanjang sejarah lima liga terbesar di Eropah.

Skuad kendalian Klopp itu kini mendahulu liga dengan kelebihan 16 mata di depan pasukan di tangga kedua, Leicester City -- yang tewas kepada Southampton dalam perlawanan terdahulu -- walaupun kelebihan itu akan berkurangan kepada 14 mata seandainya Manchester City menewaskan Aston Villa awal pagi esok.

"Ia istimewa (rekod pungutan mata berkenaan)," kata pengurus berbangsa Jerman itu kepada Sky Sports.

"Amat sukar untuk memenangi banyak perlawanan seperti itu dan sentiasa bersedia untuk berjuang pada hari terbaik, pada hari terburuk dan pada hari-hari biasa.

"Itulah yang sentiasa pemain saya lakukan dan disebabkan itu kami berada di sini.

"Saya amat gembira dengannya.

"Cuma masalahnya, anda tidak dapat apa-apa daripada permulaan baik seperti itu selain ia sekadar nombor.

"Satu-satunya perkara yang kami berminat ialah apa yang akan terjadi pada penghujung musim ini dan ia masih belum selesai.

"Kerana liga ini amat sukar, kerana kami perlu berdepan lawan yang sukar.

"Apabila kami mengumpulkan cukup mata sehingga tiada sesiapa boleh memintas kami, kemudian barulah kita akan bercakap mengenainya.

"Selagi ia belum berlaku, saya tidak terlalu berminat," katanya.

Tottenham sepatutnya mengesahkan satu mata pada lewat permainan tetapi Son Heung-min dan Giovani Lo Celso mensia-siakan peluang keemasan dan Klopp kecewa kerana pasukannya gagal menamatkan perlawanan itu lebih awal.

"Perkara utama, keputusan ini adalah perkara terpenting.

"Satu pasukan lebih layak menang dan ia adalah kami.

"Perlawanan itu tidak dapat ditamatkan pada 50-60 minit pertama, sudah pasti, ia kesilapan kami.

"Kami memperoleh peluang terbaik dan tidak menjaringkannya.

"Terdapat banyak perkara baik tetapi kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol, itulah hakikatnya.

"Kami perlu berlaku jujur kepada diri kami dan itulah kami.

"Jadi, kami dapat menjaringkan lebih banyak gol dan apabila anda boleh melakukannya, terutama ketika berdepan lawan seperti Tottenham, di stadium seperti ini," tambahnya.

Di sebalik kecemerlangan itu, tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, berkata masih banyak yang akan ditonjolkan pasukan Merseyside itu.

"Ia memberikan kami perasaan yang baik tetapi saya fikir anda dapat melihatnya dalam babak kedua, masih banyak ruang untuk kami perbaiki.

"Jadi, kami akan melihat kepada setiap perkara yang perlu diperbaiki.

"Itulah mentaliti kami dan amat jelas, kami berada dalam situasi terbaik.

"Tetapi masih banyak perkara yang boleh kami lakukan untuk menjadikannya lebih mudah selepas ini.

"Ia tempat yang sukar untuk dilawati dan tiga mata ini amat hebat buat kami," katanya.



Editor: Muzaffar Musa