Penyerang Arsenal, Olivier Giroud, menegaskan dia tidak kecewa dengan keputusannya untuk kekal dengan kelab itu.

Giroud telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Arsenal pada musim panas lalu.

Tetapi pemain kebangsaan Perancis itu mengambil keputusan untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana Inggeris, dengan menjaringkan hanya satu gol dalam 10 penampilan sebagai pemain gantian.

Giroud, yang menjaringkan gol buat Les Bleus ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Wales dalam perlawanan persahabatan, berkata dia masih gembira untuk kekal di Stadium Emirates.

"Di saat itu, saya tidak mempersoalkan mengenai masa depan saya," katanya.

"Saya gembira di Arsenal dan menerima keputusan untuk kekal kerana ia merupakan kemahuan saya. Saya hanya memikirkan cerita saya dengan kelab ini dan untuk diri saya masih belum berakhir.

"Saya sentiasa percaya dengan kualiti dan saya mempunyai keyakinan. Saya mempunyai objektif bersama Arsenal dan negara saya dan akan cuba untuk terus menjaringkan gol," ujarnya lagi.