Khabar angin dikaitkan Madrid lebih baik daripada berita pemecatan, Pochettino

Oleh Staff Writer 14 Disember 2018 720
 Khabar angin dikaitkan Madrid lebih baik daripada berita pemecatan, Pochettino
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, tidak bosan untuk terus menepis khabar angin dikaitkan ke Real Madrid kerana itu bermakna pasukannya berada di landasan tepat. 

Pochettino dua kali dikaitkan untuk jawatan di Madrid musim ini ekoran peletakan jawatan Zinedine Zidane dan pemecatan Julen Lopetegui.

Santiago Solari kemudian dilantik sebagai pengurus di Santiago Bernabeu sehingga akhir musim ini, namun menyaksikan pasukannya rebah 0-3 di tangan CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), semalam. 

Pengurus Spurs tersebut memungut empat mata daripada juara Eropah itu pada musim lalu selain membantu pasukannya mengikat Barcelona 1-1, Rabu lalu, untuk menempah tempat dalam pusingan 16.

Kempen domestik kembali menjadi agendanya tatkala Burnley akan melakukan kunjungan ke Wembley, esok, dan pengurus berusia 46 tahun itu menegaskan minat daripada Madrid itu tidak akan mengganggu perhatiannya. 

"Berita seperti ini tidak akan mengecewakan atau membosankan orang ramai," katanya dalam sidang berita sebelum perlawanan.

"Saya lebih suka media bercakap tentang perkara-perkara seperti ini berbanding khabar angin mengenai Tottenham akan memecat saya atau orang sudah bosan dengan saya. Ia akan meletakkan kami dalam keadaan yang sukar.

"Sudah tentu, jika saya perlu memilih salah satu situasi, saya memilih yang ini. Tentu sahaja saya tidak bosan."

Tottenham kini enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool, dan lima mata di belakang juara menanti, Manchester City, sambil Pochettino berhasrat untuk memastikan mereka terus memberikan cabaran sengit di bawah radar dalam pemburuan gelaran liga.

"Kami berada di kedudukan yang baik," katanya.

"Adalah normal bahawa ia menimbulkan persepsi berbeza. 

"Saya gembira kerana dalam persepsi ini, anda hanya akan bercakap tentang Manchester City dan Liverpool dan bukannya tentang kami. Saya tidak gembira dengan persepsi (sebagai calon juara) sedangkan mereka tidak menilai kami dengan cara yang betul.

"Berikutan pelaburan besar dan banyak faktor lain lagi di antara kelab-kelab ini dengan kami, biasanya anda akan menjurus kepada Manchester City, Liverpool, Chelsea, Manchester United dan Arsenal untuk perlumbaan meraih gelaran liga.

"Bagaimanapun, kami dalam saingan memburu kejuaraan kerana kami bersaing dengan cara yang sangat baik dan persembahan kami juga hebat. Sudah tentu ia persepsi yang berbeza".

Pertahanan, Kieran Trippier, mungkin kembali selepas ditimpa masalah pangkal paha untuk menghadapi bekas kelabnya itu sementara Juan Foyth dan Davinson Sanchez masih bergelut untuk mengatasi kecederaan hamstring.

Serge Aurier (pangkal paha), Mousa Dembele (buku lali) dan Victor Wanyama (lutut) akan kekal diketepikan.

Sementara itu, Pochettino menegaskan tiada rundingan yang berlaku membabitkan Fernando Llorente selepas penyerang itu menyatakan minatnya untuk kembali ke Athletic Bilbao dalam jendela perpindahan akan datang.









 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen