LIVERPOOL 2 SUNDERLAND 0

Divock Origi berasakan kesabaran Liverpool telah membuahkan hasil apabila berjaya menewaskan Sunderland di Anfield.


Pemain kebangsaan Belgium, Origi, yang dibawa masuk menggantikan Philippe Coutinho yang mengalami kecederaan, meledak gol pembukaan pada minit ke-75 sebelum James Milner menyempurnakan kemenangan The Reds menerusi sepakan penalti di penghujung perlawanan.

Kemenangan Liverpool meletakkan mereka di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang Chelsea dengan perbezaan satu mata.

"Kami telah berusaha untuk mencari gol pembukaan," kata Origi. "Penyokong kami telah membantu memberikan semangat dan kami berjaya meraih tiga mata penuh daripada perlawanan ini.

"Pengurus pasukan telah memberitahu sebelum perlawanan supaya bersabar dalam perlawanan ini. Beliau percaya jika kami mampu bermain seperti ini, kemenangan akan hadir buat kami.

"Saya berharap Coutinho akan kembali daripada kecederaannya, dia merupakan pemain yang penting."