Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa akur dengan kekalahan ketiga pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tumpas 2-1 kepada Arsenal pada aksi yang berlangsung pada Khamis di Stadium Emirates.

Klopp menyifatkan kekalahan berpunca daripada kelekaan pemain dan juga kesilapan individu yang membolehkan lawan menghukum mereka.



Namun, Klopp tiada rungutan mengenai komitmen pemain pada aksi tersebut yang menyaksikan penguasaan bola memihak Liverpool.

“Kami memulakan perlawanan dengan baik dengan mendahului namun, pemain beraksi terlalu tenang selepas itu dan mereka mula leka sehingga lawan mengambil kesempatan.

“Saya tiada rungutan mengenai usaha pemain berdepan Arsenal, kita melakukan lebih banyak percubaan tepat berbanding mereka.

“Ia cabaran but kami terus konsisten selepas bergelar juara EPL, kini kami perlu perbaiki segala kelemahan pada aksi seterusnya,” kata Klopp ketika temubual pasca perlawanan Arsenal-Liverpool bersama Stadium Astro pada pagi Khamis.



Aksi pada Khamis menyaksikan Liverpool mendahului menerusi Sadio Mane pada minit ke-20, namun Gunners bangkit menerusi gol Alexandre Lacazette dan Reiss Nelson.

Kemenangan ke atas Liverpool membolehkan Arsenal kini meraih 53 mata selepas 36 perlawanan.

Peluang ke saingan Eropah tampak kian sukar, namun pengendali Arsenal, Mikel Arteta kini mungkin mampu mendapat gambaran ramuan pemain yang diperlukan untuk saingan musim depan.

Arteta akui pasukannya kini menggunakan pendekatan tekanan awal kepada lawan, kaedah yang sebelum ini kerap juga digunakan Liverpool.

Kemenangan ke atas Liverpool juga memberikan motivasi buat Arsenal sebelum akai separuh akhir Piala FA berdepan Manchester City pada Ahad.

“Kami banyak berlatih menggunakan kaedah ini dan ia sudah menjadi identiti pasukan kami.

“Dalam aksi sebelum ini, kami juga dapat meraih banyak jaringan menerusi pendekatan ini.

“Ramai juga terkejut saya merehatkan ramai tonggak utama berdepan Liverpool, tetapi saya sedar mereka beraksi banyak minit perlawanan dan memerlukan rehat sebelum aksi dengan City.

“Ia keputusan yang memberikan hasil buat kami dan kini kami akan bersedia dan fokus untuk berdepan City,” kata Arteta ketika temubual pasca perlawanan bersama Stadium Astro pada Khamis.