Gareth Southgate mengakui bola sepak Inggeris perlu menyelesaikan masalah isu perkaumannya sendiri dan memahami mengapa Presiden Kesatuan Bola Sepak Bulgaria (BFU), Borislav Mihaylov, amat terkilan dengan komen daripada kem England, baru-baru ini.

Pengurus England itu, bulan lalu, menyatakan skuadnya perlu "mempersiapkan" kemungkinan insiden ejekan perkauman bakal terjadi menjelang perlawanan Kumpulan A kelayakan Euro 2020 di Bulgaria, Selasa depan, yang akan dimainkan di stadium tertutup berikutan kesalahan tingkah laku isu itu ketika menghadapi Republik Czech dan Kosovo, Jun lalu.

Minggu ini, Tammy Abraham menggesa rakan sepasukannya agar meninggalkan padang jika mereka menerima cemuhan berbentuk perkauman, komen yang Mihaylov sifatkan sebagai "menyinggung perasaan dan berbentuk hinaan".

Bekas penjaga gawang itu telah melaporkan hal itu kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bagi menyatakan kekecewaannya terhadap kenyataan berkenaan dan mahu pihak berkuasa Eropah itu mengawal tindakan England sekiranya mereka meninggalkan padang dan tidak mematuhi tiga protokol yang ditetapkan.

Sistem itu menyaksikan pengadil boleh menghentikan perlawanan, kemudian mengarahkan pemain meninggalkan padang dan jika masalah masih terjadi, maka tindakan meninggalkan padang boleh diteruskan.

Southgate menegaskan dia dan pemainnya tidak berniat untuk menyalahkan rakan-rakan di kem Bulgaria dengan ucapan mereka itu sambil mengakui bola sepak Inggeris sendiri juga berdepan masalah perkauman untuk ditangani.

"Saya amat memahami mengapa presiden Bulgaria berasa kecewa kerana kami hanya bertindak balas secara jujur ​​terhadap soalan daripada kalian," kata Southgate kepada pemberita dalam sidang media menjelang pertemuan dengan Republik Czech, semalam.

"Kemudian ia telah dikaitkan dengan Bulgaria dan cara yang dibangkitkan itu mungkin kelihatan provokatif atau seakan-akan kamilah yang mencetuskan topik itu.

"Sekiranya saya di tempatnya dan hanya membaca petikan ayat tersebut dengan mengambil konteks mengapa perkara itu dan tindak balas itu diperkatakan, maka saya juga akan bertindak balas sepertinya.

"Kami sama sekali bukannya cuba untuk mewujudkan satu isu. Kami berharap dalam tempoh 72 jam akan datang, kami hanya bercakap mengenai dua perlawanan bola sepak.

"Saya fikir kedua-dua negara mempunyai keinginan yang kuat untuk itu dan saya perlu menyatakannya sekali lagi, kami tidak menuduh negara lain sedangkan kami juga berdepan masalah serupa."

Perlawanan Liga Kebangsaan bulan lepas di antara Hartlepool United dan Dover Athletic terpaksa dihentikan hampir 10 minit ekoran ejekan perkauman yang dilemparkan ke arah pemain pelawat.

Berdasarkan kejadian itu, Southgate berkata: "Apa yang berlaku di sana, beberapa minggu yang lalu, mungkin lebih buruk daripada perkara yang saya lihat atau dengar di kebanyakan negara lain di dunia.

"Saya fikir kami perlu berhati-hati terhadap bagaimana kami melindungi segala-gala isu."

Sekiranya pemain England mengabaikan protokol dan meninggalkan padang dalam perlawanan di Sofia, maka kemenangan 3-0 boleh diberikan kepada Bulgaria.

Raheem Sterling, yang menjadi mangsa cemuhan dalam kemenangan 5-1 ke atas Montenegro, Mac lalu, turut senada dengan Southgate dan percaya UEFA mampu menangani perkara itu dengan betul.

"Sebagai pemain, dengan keadaan yang berlaku di Montenegro, saya tidak fikir sebagai sebuah pasukan, kami telah bersedia dan mengetahui adanya protokol," kata Sterling.

"Sebagai sebuah pasukan, kami telah mengadakan perbincangan dan Gareth menjelaskan bahawa wujudnya protokol UEFA. Sebagai pemain, kami sememangnya memberikan peluang kepada UEFA untuk bertanggungjawab dan menangani situasi itu.

"Buat masa ini, kami harus menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada UEFA."