David Moyes menjelaskan beliau akan "membuatkan mustahil" bagi West Ham untuk tidak melanjutkan kontrak 18 bulannya selepas didedahkan sebagai pengganti Manuel Pellegrini.

Pengendali berusia 56 tahun itu kembali ke Stadium London buat kali kedua selepas pemecatan Pellegrini, Sabtu lalu.

Moyes sebelum ini telah memastikan West Ham mengelak daripada penyingkiran pada musim 2017-18, namun kontraknya tidak dilanjutkan dan kelab London itu memilih untuk melantik Pellegrini.

Pengendali berbangsa Scotland itu, yang mengesahkan Alan Irvine akan sekali lagi menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihannya, percaya perkara berbeza akan berlaku kali ini.

"Terdapat klausa yang perlu diaktifkan jika kelab mahu melanjutkan kontrak saya," kata Moyes. "Saya mahu cuba untuk memastikan mustahil untuk klausa itu tidak diaktifkan. Sekarang ia terpulang kepada prestasi The Hammers.

"Saya sangat gembira apabila diberikan kepercayaan sekali lagi untuk mengendalikan pasukan ini. Kali ini, saya akan memastikan mereka melanjutkan kontrak saya.

"Sebelum ini, kami memerlukan keputusan dan perkara yang sama harus dilakukan tetapi saya menyedari kini memiliki lebih banyak masa untuk melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan."

Moyes mungkin tidak mengendalikan sebarang pasukan sejak 18 bulan lalu tetapi menegaskan pengalamannya semakin meluas dan tidak gentar untuk menguji sesuatu yang baru.

"Saya telah cuba mendidik diri sendiri ketika tidak mengendalikan pasukan.

"Saya telah bekerjasama dengan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan menyaksikan sebanyak mungkin perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya banyak menyaksikan perlawanan bola sepak, anda perlu sentiasa cuba untuk mendapatkan idea-idea baru," katanya lagi.



Editor: Ammar Hakim