Kecederaan lutut halang Rooney untuk berdepan Sepanyol

Oleh Joe Wright 14 November 2016 5
Kecederaan lutut halang Rooney untuk berdepan Sepanyol
Wayne Rooney digugurkan daripada skuad England dan akan kembali ke Manchester United bagi menjalani rawatan kecederaan lututnya, menurut Persatuan Bola Sepak England (FA). 

Pemain berusia 31 tahun itu tersisih daripada menjalani sesi latihan berikutan masalah itu dan pemangku jurulatih England, Gareth Southgate, kemudian mengesahkan ketua pasukan itu tidak akan tampil dalam kesebelasan utama aksi persahabatan menentang Sepanyol. 

Ryan Bertrand turut terlepas sesi tersebut, namun disahkan cergas untuk menghadapi kunjungan skuad bimbingan Julen Lopetegui.

"Wayne Rooney telah meninggalkan skuad England dan kembali ke Manchester United," demikian kenyataan yang dikeluarkan England. 

"Penyerang itu tersisih daripada menjalani latihan pagi ini di pusat latihan Tottenham Hotspur ekoran kecederaan ringan di bahagian lutut.

"Bagaimanapun, Gareth Southgate sudah merancang untuk merehatkan kaptennya itu ketika Sepanyol bertandang ke Stadium Wembley sambil Rooney sudah pun kembali ke kelabnya untuk tindakan susulan.

"Bek kiri, Ryan Bertrand, turut terlepas menjalani sesi latihan hari ini, namun dia akan kekal bersama skuad Three Lions dan bersedia diturunkan untuk pertemuan menentang skuad Julen Lopetegui."

Berita ini bakal membuatkan pengurus United, Jose Mourinho, tersentak menjelang pertemuan dengan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Khidmat Zlatan Ibrahimovic sudah pasti terpaksa dilupakan gara-gara penggantungan satu perlawanan, ini bermakna Rooney -- yang jarang diturunkan dalam skuad utama beberapa minggu lalu -- dijangka akan turut memainkan peranan ketika menghadapi skuad kendalian Arsene Wenger itu. 
 

Tentang Penulis

Joe Wright

Komen