Pengendali Arsenal, Unai Emery, menjelaskan pasukannya kini mungkin akan mencari pemain baru dalam musim perpindahan Januari ini selepas Hector Bellerin menjadi nama terbaru menyertai senarai kecederaan ketika tewas di tangan Southampton lewat malam tadi.

Khidmat Bellerin dijangka tidak akan dapat digunakan sehingga tahun baru susulan masalah kecederaan betis yang dialami sebelum babak pertama tamat dalam aksi yang menyaksikan The Gunners tewas 2-0 di St Mary's.

Emery menyifatkan masalah itu sebagai perkara kecil tetapi menjangkakan Bellerin memerlukan beberapa minggu untuk kembali, sekali gus memberi tamparan buat Arsenal tatkala mereka terlepas khidmat Sead Kolosinac yang mengalami kecederaan paha sebelum perlawanan semalam.

Rob Holding terpaksa dilupakan sepanjang musim, Konstantinos Mavropanos tidak dapat dilihat kelibatnya sambil Laurent Koscielny tampak kehilangan kepantasan dalam aksi liga pertamanya sejak April lalu.

Shkodran Mustafi dan Sokratis Papastathopoulos masih ada, namun menjalani penggantungan satu perlawanan dan Emery terpaksa menyelesaikan perkara itu tanpa rombakan susulan.

"Saya tidak tahu kerana kami tidak memiliki banyak kemungkinan dalam bulan Januari tetapi mungkin kami memikirkan tentang satu nama untuk dibawa masuk bagi membantu kami," kata Emery.

"Namun, ia hanya jika mereka merupakan pemain yang mampu menghadirkan prestasi buat kami. Ia tidak mudah. Saya tidak begitu percaya kepada jendela perpindahan kerana ia bukan satu kemungkinan dengan pemain.

"Pihak kelab sedang berusaha dan hanya jika ada pemain yang mampu membantu kami di peringkat tertinggi, kami akan mendapatkannya."