MANCHESTER CITY 2 CHELSEA 1

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata Sergio Aguero mungkin mengalami kecederaan yang berpanjangan tatkala pasukannya bangkit untuk menewaskan Chelsea 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.


City hanya meraih 46.74 peratus penguasaan bola ketika berdepan The Blues, sekali gus mencatat rekod terendah buat pasukan kendalian Guardiola itu dalam 381 perlawanan tetapi mengutip tiga mata penting.

N'Golo Kante memberikan Chelsea pendahuluan menerusi penyudah bijak menewaskan Ederson tetapi sepakan Kevin De Bruyne yang terbias daripada pemain The Blues serta percubaan lencong Riyad Mahrez membrikan kemenangan buat City.

Kebangkitan City itu terpaksa dibayar dengan kecederaan tiga tonggak utama tatkala Rodri, Aguero dan David Silva terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua di Etihad.

Aguero dilihat tidak selesa dengan keadaan badannya dan Guardiola khuatir penyerang itu bakal terlepas beberapa perlawanan buat juara bertahan itu.

"Saya fikir keadaan Aguero sangat teruk. Saya fikir begitu. Kami akan tahu mengenainya esok" katanya.

Guardiola kemudian memberitahu sidang media: "Buat Rodri dan Silva, ia lebih kepada penat dan kekejangan otot. Rodri diketepikan selama sebulan dan aksi sebegini sememangnya memerlukan komitmen tinggi."

Sebelum tewas awal pagi tadi, Chelsea memenangi enam perlawanan liga berturut-turut dan Guardiola memuji kemampuan barisan muda bimbingan Frank Lampard itu.

"Selepas kami dibolosi, kami agak bergelut dan detik terbaik adalah sewaktu kami meraih jaringan menerusi De Bruyne," tambah pengurus dari Sepanyol itu.

"Kemudian, kami melepaskan beberapa peluang sambil lawan menguasai perlawanan.

"Dalam babak kedua, kami mengawalnya. Kami kehilangan bola dalam beberapa posisi sukar. Mereka sangat bagus dalam membaca hantaran dan memintasnya. Chelsea lebih unggul tetapi kami banyak melawan.

"Kami mengubah beberapa perkara. Kami berdepan beberapa elemen daripada mereka dan menguasai dengan lebih baik dalam babak kedua. Kami penat, mengalami kecederaan dan bergelut.

"Chelsea sangat bagus. Mereka pasukan yang hebat. Ia adalah Chelsea. Apabila anda melihat dalam 20 tahun terakhir, mereka agak mengagumkan. Dalam enam atau tujuh tahun terakhir, City memenangi lebih banyak trofi tetapi sebelum itu, Manchester United dan Chelsea adalah yang terbaik.

"Sebelum ini, mereka hanya bertahan dan menggunakan serangan balas. Kini, mereka berani menggunakan pengurus muda, mempunyai pemain penuh semangat, tiada apa merugikan dan mereka mara dengan permainan bola sepak yang bagus.

"Anda boleh lihat pasukan kelompok atas liga bermain sangat hebat. Leicester, Liverpool, Chelsea dan kami."