Keane: Pogba sepatutnya jaringkan gol

Oleh Muzaffar Musa 18 Januari 2021 6490
Keane: Pogba sepatutnya jaringkan gol
Roy Keane berasakan pendekatan bertahan Manchester United di Anfield layak dipuji tetapi kecewa Paul Pogba melepaskan peluang terhidang.

Biarpun Liverpool terpaksa meletakkan dua pemain tengah, Jordan Henderson dan Fabinho, sebagai pertahanan tengah, United tidak banyak menguasai permainan dalam pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi.

Perlawanan itu tamat tanpa sebarang jaringan dan memberikan pendahulu EPL, United, mata ke-37 untuk berkelebihan tiga mata di depan juara bertahan itu.

Selepas permulaan pantas yang dipamerkan Liverpool, perlawanan itu berakhir dengan sengit. Pasukan tuan rumah itu menghasilkan 17 percubaan -- lebih sembilan berbanding United -- tetapi hanya tiga daripadanya merupakan percubaan tepat.

Ia merupakan kali ketiga berturut-turut Liverpool gagal  menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan liga dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak pernah menang sejak membelasah Crystal Palace 7-0 sebelum sambutan Hari Natal lalu.

United, yang melakukan empat percubaan tepat, berpeluang untuk memberikan kemenangan pertama Ole Gunnar Soskjaer ke atas Liverpool, yang perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Alisson, kerana menyelamatkan beberapa percubaan getir dalam babak kedua.

Tidak dinafikan, peluang terbaik United diperoleh Paul Pogba tetapi bintang Perancis itu -- yang diturunkan sebagai pemain sayap kanan dalam perlawanan itu -- melakukan percubaan jarak dekat yang tepat menuju ke arah Alisson.

Walaupun  legenda United, Keane, kecewa dengan kegagalan pasukan itu memanfaatkan kekurangan skuad tempang Liverpool, dia berasakan bekas kelabnya itu layak dipuji berdasarkan aksi bertahan yang amat ampuh.

Keane berkata kepada Sky Sports: "Peluang terbesar adalah peluang Pogba. Anda dapat melihat daripada reaksinya. Sentuhan pertamanya amat baik, dia sepatutnya menjaringkan gol itu. Halakan ke mana-mana sahaja dan melepasi penjaga gol, bukan menuju ke arahnya.

"Disebabkan sentuhan pertamanya yang amat baik, ia memberikan dirinya lebih peluang untuk menewaskan penjaga gol -- momen yang besar buat United musim ini. Pujian buat penjaga gol, dia dapat membacanya tetapi itulah momen yang diharapkan mereka sebelum perlawanan itu.
 
"Lebih mudah untuk berkata daripada melakukannya (supaya tidak bermain secara bertahan). Kita tahu Liverpool akan melakukan larian pantas, mereka  tidak bermain selama sembilan hari.

"United sentiasa beraksi goyah pada 30 minit pertama. Mereka bermain dengan tidak kemas dalam sesetengah gerakan. Anda tahu United akan memperoleh peluang, kesnya adalah sama ada mereka menanfaatkannya atau tidak.

"Anda tidak boleh katakan Liverpool bermain dengan buruk tetapi mereka kehilangan aksi menarik. Dan apabila anda mendapat peluang seperti Pogba, ia amat mengecewakan. Kami sudah banyak memperkatakan tentang Pogba, kami selalu mengkritiknya tetapi itu adalah momen untuk dia berkata bahawa dia mahu menjadi pemain utama, anda perlu memanfaatkan peluang itu.

"Saya tidak mahu terlalu mengkritik United, bagi saya mereka telah menunjukkan mentaliti yang bagus," katanya.


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen