Harry Kane dan Harry Winks menyertai rakan sepasukan di Tottenham Hotspur, Dele Alli, apabila menarik diri daripada skuad England untuk aksi persahabatan menentang Jerman dan Brazil yang bakal menjelang.

Sehubungan itu, pemain tengah West Brom, Jake Livermore, telah dipanggil oleh Gareth Southgate untuk perlawanan di Wembley itu, minggu ini.

Kelmarin, Alli disahkan tidak akan bermain kerana kecederaan hamstring dalam kemenangan 1-0 Spurs ke atas Crystal Palace.

Kane dan Winks pula mengalami kecederaan ringan dan secara tidak langsung menjejaskan perancangan Southgate untuk persiapan menghadapi kempen Piala Dunia di Russia tahun depan.

Dengan demikian, Spurs mahu mengelakkan sebarang risiko terhadap kecergasan Kane sementara Winks mengalami masalah pergelangan kaki dalam perlawanan yang sama.

Ketiadaan Kane meningkatkan peluang pemain Chelsea yang dipinjamkan ke Swansea City, Tammy Abraham, untuk membuat penampilan sulung bersama skuad Three Lions.

"Fokus utama saya di Swansea adalah terus bekerja keras. Sasaran utama saya adalah untuk berada dalam skuad Chelsea," kata pemain berusia 20 tahun itu.