Kane tidak berani jamin setia di Tottenham 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Mac 2020 539
Kane tidak berani jamin setia di Tottenham 
Harry Kane tidak akan kekal di Tottenham semata-mata untuk membuktikan kesetiaannya dan sedia mempertimbangkan masa depannya jika kelab itu tidak menunjukkan kemajuan di atas padang.

Spurs belum memenangi trofi utama sejak Piala Liga Inggeris (EFL) pada 2008 dan mengalami kemerosotan sejak tampil sebagai finalis dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu ketika dikemudi Mauricio Pochettino dan kini diterajui Jose Mourinho.



Kapten England itu sering bercakap mengenai keinginannya untuk memenangi gelaran bersama Tottenham tetapi memberi isyarat sudi berhijrah sekiranya cita-citanya itu tidak dipenuhi.

Manchester United dan Real Madrid dikhabarkan sedang memantau rapat situasi itu selepas Kane enggan memberi jaminan bahawa masa depannya di Stadium Tottenham Hotspur.

 
Bercakap dalam siaran langsung Instagram bersama pemerhati bola sepak Sky Sports merangkap bekas pemain tengah Spurs, Jamie Redknapp, katanya: "Saya kerap diajukan soalan ini.

"Salah satu mengenai perkara itu -- saya tidak boleh mengatakan ya dan saya juga tidak boleh mengatakan tidak.

"Saya sayangkan Spurs, saya akan sentiasa menyayangi Spurs tetapi saya selalu berkata bahawa jika saya tidak berasakan bahawa kami sedang maju sebagai sebuah pasukan atau menuju ke arah yang betul, saya bukan orang yang akan kekal demi kesetiaan.

"Saya seorang pemain yang bercita-cita tinggi, saya mahu terus memperbaiki diri, menjadi lebih baik dan menjadi salah seorang pemain terbaik. Segalanya bergantung kepada apa yang berlaku dalam pasukan dan bagaimana kami maju sebagai sebuah pasukan.

"Jadi ia tidak dapat menentukan apakah saya akan tinggal di sini selama-lamanya atau mungkin tidak."

Sementara itu, Spurs mengesahkan Son Heung-min dan Steven Bergiwijn masing-masing telah dibenarkan pulang ke Korea Selatan dan Belanda.

Son kembali ke kampung halaman atas alasan peribadi sementara Bergwijn sedang menantikan kelahiran anaknya.

Spurs berkata kedua-dua pemain itu akan meneruskan program pemulihan dan latihan individu mereka sepanjang masa tatkala Liga Perdana Inggeris (EPL) masih digantung akibat wabak koronavirus baru (Covid-19).

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen