Kane: Spurs mampu juarai EPL

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 483
Kane: Spurs mampu juarai EPL
Bintang Tottenham, Harry Kane, percaya pasukannya mampu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan menggesa rakan-rakannya untuk mengambil keyakinan daripada kemenangan ke atas Liverpool.

Kane menjaringkan dua gol ketika skuad Mauricio Pochettino membelasah Liverpool 4-1 di Wembley, kelmarin.

Spurs menduduki tempat ketiga dan kedua dalam dua musim lalu, dan kini berada lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Kane, yang mendahului carta penjaring terbanyak dalam usaha meraih Kasut Emas buat kali ketiga berturut-turut, percaya pasukannya mampu memenangi gelaran EPL pertama sejak Spurs ditubuhkan pada 1961.

"Kami sudah beberapa kali hampir memenangi EPL, diharapkan tahun ini akan menjadi tahun kami," kata pemain antarabangsa England itu.

"Kami pasti memiliki pasukan yang cukup baik untuk melakukannya. Jadi, seperti yang saya katakan, kami perlu terus bekerja keras dan melihat apa yang berlaku. Ia boleh dilakukan, kami hanya perlu mengekalkan prestasi kami.

"Semalam, ia memberi kami keyakinan yang besar, mengalahkan sebuah pasukan hebat seperti Liverpool.

"(Saingan) masih panjang untuk diharungi, kami sudah begitu dekat beberapa tahun lalu, mudah-mudahan kami dapat melakukannya tahun ini," ujarnya.

Prestasi baik Kane menyaksikan dia dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah tetapi pemain berusia 24 tahun itu menegaskan dia komited bersama Spurs.

Penyerang itu percaya Tottenham boleh berkembang menjadi salah sebuah kelab terbesar di dunia di bawah bimbingan Pochettino.

"Untuk memenangi trofi, menjadi salah sebuah pasukan terbaik di dunia dan salah seorang pemain terbaik di dunia," katanya.

"Saya rasa kami mempunyai persediaan hebat untuk melakukannya, pengurus hebat, pasukan hebat, saya tidak sabar untuk melakukannya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen