Kane, Son hargai bimbingan Mourinho di Spurs

Oleh Shaiful Shamsudin 20 April 2021 2962
Kane, Son hargai bimbingan Mourinho di Spurs
Harry Kane dan Son Heung-min memberi penghormatan kepada Jose Mourinho di media sosial masing-masing sambil pengurus Portugis itu menegaskan dia tidak memerlukan rehat selepas pemecatannya di Tottenham.

Mourinho dilantik sebagai pengganti Mauricio Pochettino pada November 2019 tetapi dipecat semalam dengan Spurs menduduki tangga ke ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus peluang untuk lolos ke Liga Juara-Juara (UCL) semakin tipis selain tersingkir daripada Liga Europa.

Detik pemecatannya mungkin kelihatan agak aneh iaitu hanya enam hari menjelang perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL), tetapi Daniel Levy memilih untuk menyingkirkannya sebelum Mourinho sempat menghabiskan tugasannya mengendalikan Spurs semusim penuh. 

Permainan Kane dan Son berkembang di bawah Mourinho apabila membentuk gandingan yang digeruni. Mereka menyumbang 74 gol dan 41 bantuan gol di bawah bimbingannya. 

Melalui Twitter, Kane menulis: "Terima kasih atas semuanya bos. Saya gembira dapat bekerjasama. Saya doakan yang terbaik untuk bab yang seterusnya."

 


Son menambahnya di Instagram: "Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya, saya sangat senang dapat bekerja dengan anda, saya minta maaf kerana semuanya tidak berjalan lancar dan benar-benar bersyukur kerana diberi kesempatan bersama.

"Semoga berjaya dan yang terbaik untuk masa depan."

Mourinho dipecat dalam ketiga-tiga tugasan terakhirnya apabila hilang jawatan dalam musim keduanya di Chelsea dan Manchester United.

Sejak awal kempen 2015-16 iaitu ketika dipecat The Blues, Mourinho memiliki 48.5 peratus kemenangan EPL dan rata-rata 1.71 mata dalam setiap permainan.

Sebelum akhir musim 2014-15 -- ketika dia menjuarai EPL buat ketiga kalinya dalam penggal keduanya di London -- dia merekodkan 69.4 peratus kemenangan dan purata 2.29 mata dalam setiap perlawanan. 

Tetapi bekas pengurus Real Madrid dan Inter itu mendedahkan dia tidak perlu berehat lama untuk menggalas tanggungjawab seterusnya. 

Dalam wawancara singkat dengan Sky Sports, dia berkata: "Kamu kenal saya, saya tidak akan bercakap mengenainya.

"Tidak perlu rehat. Saya selalu dalam permainan ini."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen