Emmanuel Eboue berasakan penyerang, Harry Kane, memiliki persamaan dengan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, dan menyedari tugas sukar menanti Arsenal yang akan berdepan Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.

Kane telah menjaringkan lapan kali daripada 10 penampilan aksi EPL musim ini dan bakal berada pada tahap terbaik untuk beraksi di Stadium Emirates selepas berehat daripada aksi persahabatan England berdepan Jerman dan Brazil.

Bercakap kepada DAZN, bekas pertahanan The Gunners, Eboue, mengutarakan Kane adalah ancaman utama kepada skuad kendalian Arsene Wenger.

"Musim ini, Harry Kane menjadi seorang pemain yang lebih berkualiti," katanya.

"Daripada sudut mana sekalipun, setiap percubaan berubah menjadi gol. Dia seperti Lewandowski. Mereka memiliki persamaan. Penyerang seperti mereka memberikan kesukaran kepada barisan pertahanan.

Bekas pemain kebangsaan Ivory Coast itu turut menyedari kekuatan yang dimiliki oleh Spurs.

"Tottenham merupakan pasukan yang berkualiti, anda harus mengakuinya.

"Ketika berdepan mereka, anda tidak akan dapat menjangka bila mereka akan menjaringkan gol.

"Ini bakal menjadi perlawanan yang sangat istimewa. Saya berharap yang terbaik untuk Arsenal," katanya.