Frank Lampard percaya Chelsea telah membuktikan mereka kini berada di landasan terbaik untuk merapatkan jurang dengan Liverpool dan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dalam aksi awal pagi tadi, Chelsea membuka tirai jaringan ketika menentang City tetapi juara bertahan itu -- yang kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool -- bangkit untuk menang 2-1.

Ia menamatkan rentetan kemenangan enam perlawanan berturut-turut buat pasukan tangga keempat, Chelsea, tetapi Lampard yakin pasukan kendaliannya itu telah mempamerkan kualiti yang cukup baik untuk mencabar kejuaraan liga.

"Sesetengah perkara tampak bagus, kami boleh tingkatkan lagi. Sebab itu sentiasa ada jurang, lebih-lebih lagi musim lalu. Itu yang dilakukan City dan Liverpool," katanya.

"Saya fikir kami telah menunjukkan kemampuan sebenar. Kualiti yang dipamerkan Riyad Mahrez dan jaringan pertama lawan memberikan perbezaan dalam perlawanan ini.

"Terdapat banyak perkara terperinci dalam perlawanan tetapi saya fikir kami tidak mendapatkan kualiti yang sepatutnya ada. Dalam aksi sebegini, ia boleh jadi menang atau kalah di dalam kotak. Saya fikir itu menjadi keutamaan.

"Kami sedang cuba merapatkan jurang. Saya tidak mahu terlalu lantang kerana bola sepak melibatkan setiap hari dan minggu.

"Kini, kami perlu tunjukkan reaksi di atas kekalahan ini selepas melalui rentak kemenangan. Sudah lama kami tidak ditimpa kekalahan dalam liga, jadi kini kami perlu kembali ke prestasi terbaik kerana saya fikir ada elemen dalam perlawanan ini yang menunjukkan kami dalam proses itu.

"Sudah tentu kami di peringkat awal, hanya tiga atau empat bulan. Musim lalu, kami pasukan yang kuat tetapi sesetengah pemain kami beraksi dalam Liga Kejuaraan, jadi terdapat beberapa peralihan.

"Saya fikir kami perlu terus bekerja dan akan meraih hasilnya."

City meraih kemenangan walaupun hanya menguasai 46.74 peratus perlawanan dan berdasarkan maklumat rasmi Opta, ia merupakan catatan terendah dipamerkan skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam 381 perlawanan.

"Itu corak yang kami cuba dan mainkan. Anda tidak boleh selesa, mereka memiliki peluang awal, begitu juga kami," tambah Lampard.

"Saya fikir mungkin kami cuai, memberikan mereka pelaung. Pasukan yang bagus berusaha untuk mendapatkan tuah. Kami dalam proses itu. Kami perlu pastikan ia berjalan lancar.

"Saya fikir daripada segi penguasaan, kami lebih banyak mencetuskan masalah berbanding barisan tengah mereka tetapi terdapat beberapa kali kami cuai ketika melakukan hantaran di antara dua pemain tengah walaupun cuba libatkan pertahanan tepi.

"Mereka memberi tekanan dan sangat tersusun. Ia menyukarkan kami dan segala perincian dalam perlawanan membantu untuk terus berusaha."