Arsene Wenger mengakui Arsenal bernasib baik untuk mengutip tiga mata hasil gol kontroversi, Laurent Koscielny, pada penghujung perlawanan berdepan Burnley.

Ulang tayang menunjukkan percubaan jarak dekat Alex Oxlade-Chamberlain terkena tangan pertahanan Perancis itu sebelum menuju ke arah gol, sekali gus mengesahkan kemenangan di Turf Moor.

Arsenal mendominasi keseluruhan perlawanan tetapi ketumpulan jentera serangan menyukarkan pemburuan gol.

Jaringan kemenangan Koscielny membawa makna besar buat Wenger yang menyambut ulang tahun ke-20 bersama The Gunners, namun beliau mengakui nasib memainkan peranan besar dalam pertemuan itu.

"Kami sangat bernasib baik hari ini kerana pemain agak keletihan selepas pulang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah," beliau memberitahu BBC Sport.

"Burnely bertahan dengan baik dan mereka juga berpeluang menghasilkan gol.

"Saya tidak dapat melihat gol jaringan Koscielny dengan jelas, namun saya diberitahu bahawa kami bernasib baik."

Kemenangan itu meletakkan Arsenal dua mata di belakang pendahulu Manchester City, yang tewas 2-0 kepada Tottenham Hotspur sebelum itu.

Wenger sedar tiga mata yang diraih sangat penting meskipun musim ini baharu sahaja memasuki perlawanan ketujuh.

"Jika kami mahu menjuarai liga, kami perlu lebih efisien apabila beraksi di laman sendiri," tambahnya.